NIAH: Seekor buaya betina yang sedang mengeram telur sekitar 40 biji di tepi parit di sebuah ladang sawit di sini berjaya ditangkap dan dipindahkan kelmarin.
Penangkapan ke atas buaya betina itu adalah ekoran rasa khuatir tentang keselamatan pekerja ladang sawit di situ kerana boleh mendatangkan kejadian yang tidak diingini berlaku.
Kekhuatiran bukan hanya kepada pekerja ladang sawit, malah kepada sesiapa sahaja yang masuk melalui kawasan ladang kerana reptila ganas itu boleh menyerang tanpa disedari.
Sebuah video dimuat naik di Facebook Tom Chin semalam kelihatan sangat mengerunkan kerana buaya terbabit kelihatan sangat ganas dan garang.
Utusan Sarawak difahamkan melalui komen orang ramai di Facebook bahawa kejadian dan keberadaan buaya itu di kawasan Ladang Sawit Tawakal Suai Jalan Persisiran Pantai Miri-Bintulu.
Buaya terbabit ditangkap dengan menggunakan tali dan pekerja telah melakukan beberapa kali untuk menjerat dan akhirnya tali berjaya menggena pada mulut buaya dan terus diikat.
Buaya ganas itu kemudian diangkat menggunakan jentera berat untuk memudahkan buaya diikat dengan rapi bagi mengelakkan serangannya.
Setakat ini, pemindahan dan keberadaan buaya terbabit masih belum diketahui lagi.
Sehubungan itu, pekerja ladang dan orang ramai dinasihatkan sentiasa berhati-hati ketika berada di tepi parit dan anak-anak sungai di kawasan ladang kelapa sawit agar tidak menjadi mangsa sang bedal.
Oleh Adum Liu