SIBU: Polis menahan seorang lelaki dan perempuan bawah umur, kedua-duanya warga tempatan yang dipercayai membuang bayi lelaki yang baru dilahirkan di dalam sebuah tong di kawasan lot kedai Jalan Tong Sang pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, pihaknya menerima panggilan MERS 999 daripada seorang saksi lelaki Cina pada 8.30 pagi yang memaklumkan menjumpai bayi masih hidup ketika melalui kawasan tersebut.
Beliau berkata, bayi itu dijumpai bersama uri bertali pusat dan disyaki lahir kurang dari 24 jam.
“Bayi tersebut telah dihantar ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
“Pemeriksaan oleh doktor kecemasan mendapati bayi seberat 1.48 kilogram itu dilahirkan normal. Tiada kesan kecederaan pada tubuh badan bayi.
“Anggaran tempoh bayi dilahirkan antara 30 hingga 35 minggu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan kes itu, katanya, pihak polis telah membuat tangkapan terhadap seorang lelaki berusia 44 tahun dan seorang perempuan berumur 14 tahun.
“Kedua-dua suspek akan dipohon reman pada 30 Oktober ini (esok) untuk siasatan lanjut.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan niat membuang bayi tersebut.
“Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai dua tahun, atau denda, atau dengan kedua-duanya,” katanya.
Zulkipli turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut supaya tampil memberi kerjasama kepada pihak polis melalui nombor telefon 084-364373 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Zam Zam Ismail di talian 014-9067909.
Bayi kini berada di Hospital Sibu.