Brunei kekal sebagai antara pasaran pelancongan terpenting Sarawak

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

BANDAR SERI BEGAWAN: Brunei kekal sebagai antara pasaran pelancongan terpenting bagi Sarawak dengan jumlah ketibaan pelawat seramai 1,676,561 orang  pada tahun 2025, manakala sehingga Jun 2026, jumlah ketibaan telah  melebihi 745,000 orang.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pada tahun 2026, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan melalui Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) akan terus memperkukuh usaha promosi di Brunei menerusi kerjasama strategik dengan Royal Brunei Airlines (RBA).

“Susulan penutupan pejabat Tourism Malaysia Brunei pada Mei 2026,  RBA kini menjadi rakan strategik utama STB dalam melaksanakan  kempen pemasaran dan promosi bersama.

MANFAAT BERSAMA…Awang Tengah dan rombongan ketika perbincangan tertutup dengan barisan kementerian luar Brunei diterajui Dato Erywan bin Pehin Mohd Yusof.

Antara inisiatif utama ialah penyertaan dalam RBA Marketing & Sales Forum, Sabre Brunei Travel Fair, kempen promosi bersama dengan  STATOB, serta pelbagai program bagi mempromosikan pelancongan riadah, pelancongan perubatan dan MICE,” katanya ketika ditemui selepas pertemuan empat mata dengan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II Brunei Dato Seri Setia Erywan Pehin Dati Pekerma Jaya Mohd Yusof di Kementerian Luar Negeri Brunei, Bandar Seri Begawan baru-baru ini.

Seterusnya STB juga akan terus bekerjasama dengan agensi pelancongan utama di Brunei bagi memasarkan Sarawak kepada pelawat antarabangsa  yang memasuki rantau ini melalui Brunei.

Pada masa yang sama Pejabat Pelancongan dan Perniagaan Sarawak di Brunei (STATOB) akan terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan antara Sarawak dan Brunei melalui kerjasama dalam bidang  perdagangan, pelaburan, pelancongan, komuniti dan kebudayaan.

“Program Citarasa & Tautan Budaya Sarawak–Brunei 2025 yang berlangsung di Hassanal Bolkiah National Stadium Annexe, Bandar Seri  Begawan, pada 2 hingga 3 Ogos 2025 telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada peserta dan pengunjung.

“Berikutan kejayaan tersebut, STATOB akan meneruskan pelaksanaan pelbagai program sepanjang 2026, antaranya Brunei Media Kuching Familiarisation Trip bersama STB dan RBA pada 26–30 Jun 2026, Program Jelajah Usahawan Sarawak–Brunei 2026 pada 4–5 Julai  2026 di Lawas, Citarasa & Tautan Budaya Sarawak–Brunei 2026 pada 30 Julai–2  Ogos 2026 depan, Education–Medical Tourism Fair (EMTF) 2026 (September 2026); dan Brunei Coffee Trail 2026 & Roadshow of Visit Brunei Year 2027  di Miri (7–9 Ogos 2026).

Program-program ini akan terus memperkukuh hubungan antara  rakyat, memperluaskan jaringan perdagangan dan pelaburan serta  meningkatkan kerjasama dalam sektor pelancongan dan ekonomi,” jelasnya.

Sarawak komited untuk terus memperkukuh hubungan yang sedia  terjalin dengan Brunei melalui pendekatan yang pragmatik,  saling menghormati dan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

“Saya yakin dengan komitmen bersama, segala inisiatif yang telah dibincangkan dapat diterjemahkan kepada hasil yang lebih bermakna  demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat kedua-dua wilayah,” ujarnya.