Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Brooketon: Pelaburan Brooke di Muara
  • KOLUMNIS

Brooketon: Pelaburan Brooke di Muara

Utusan Sarawak 5 months ago
RAJAH Charles Brooke.

MUNGKIN ramai tidak tahu bahawa kerajaan Brooke per­nah memiliki satu pelaburan di Brunei. Pelaburan yang dimak­sudkan ini adalah lombong arang batu di Muara, Brunei.

Pegangan lombong ini dinamakan sebagai Brooketon. Jika diteliti wacana saya sebelum ini, pernah disentuh tentang lom­bang arang batu di Brooketon tetapi tidak dilanjutkan perbincangannya.

Oleh itu, bagaimana kerajaan Brooke boleh mem­peroleh pelaburan di muara ini? Maka, elok dilihat dan diteliti dahulu bagaimana aktiviti perlom­bongan ini bermula.

PEMILIKAN ASAL

Oleh sebab bahan api untuk mengerakkan jentera termasuk kapal wap ketika itu berasaskan arang batu, maka mineral ini menjadi satu yang amat berharga pada abad ke-19 dan awal abad ke-20.

Oleh itu, pelabur asing berlumba-lumba mencari hasil bumi ini di merata pelosok dunia. Sarawak merupakan salah satu tempat yang mana simpanan arang batunya agak banyak.

Begitu juga dengan Labuan yang mempunyai potensi simpanan arang batu yang berharga. De-ngan kata lain, utara Borneo me-nyimpan bahan api yang amat penting kepada pergerakan re-volusi industri dunia.

Di Brunei, usaha mengenal pasti mineral ini telah menjumpai simpanan arang batu di Muara. Hal tersebut diakui pada Julai 1846 oleh James Brooke dan Cochrane semasa melawat Muara. Mereka mengakui baha­wa ada lapisan arang batu ter­dapat tidak jauh dari pelabuhan Muara.

Malahan, Sultan Brunei pada Ogos 1846 menyaran­kan pada James Brooke untuk memberi hak melombong arang batu dari Makabong ke Tanjong Baram.

Ketika itu, Pejabat Luar British menolak tawaran tersebut. Pada 1855, Eastern Archipelago Company mendapat hak melom­bong di Muara.

Namun demikian, pelaburan syarikat ini tidak ber­tahan lama. Pada 1858, mereka melakukan penghantaran terakhir arang batu untuk dieksport. Serentak dengan itu juga pem­bayaran kepada Sultan Brunei terhenti.

PEMILIKAN KEDUA

Pada 13 Mac 1882, William Cowie pula mendapat hak per­lombongan arang batu di Muara, Brunei. Beliau mendapat hak tersebut daripada persetujuan Sultan Brunei untuk pajakan selama 20 tahun.

Keluasan kawasan yang dipegang oleh Cowie ini adalah seluas sekitar 50 batu persegi. Muara Coal Mining Company sebuah syarikat swasta ditubuhkan oleh Cowie untuk mengendalikan operasi lombong tersebut.

BROOKETON di Muara, Brunei.

Dalam mengusahakan lom­bong tersebut, beliau dibantu oleh tiga kakitangan orang Barat dan sekitar 200 pekerja buruh dalam kalangan orang Melayu dan Cina. Pengurus lombong tersebut adalah George H. David yang mempunyai pengalaman dalam perlombongan arang batu di Labuan.

Kedudukan Muara juga berdekatan dengan pelabuhan Labuan, iaitu 20 batu dan ia juga mempunyai pangkalan laut. Pangkalan laut ini mempunyai kedalaman lima atau enam depa.

Pada peringkat awal, arang batu ini diangkut oleh kereta kerbau. Usaha telah dirancang untuk membina landasan tram bagi membolehkan gerabak tram menganti kereta kerbau tersebut.

Dari segi pertahanan, Cowie menyatakan mereka memiliki senjata berupa snider untuk mempertahankan Muara dari­pada sebarang kekacauan yang berlaku.

Pengiran Bendahara Brunei juga menyatakan sokongan untuk membantu mempertahankan lombong tersebut daripada ke-kacauan.

Pada peringkat awal, lombong arang batu di Muara tersebut hanya mampu membekalkan sebanyak sekitar 300 tan arang batu untuk sebulan.

Pengeluaran ini sudah cukup untuk menam­pung keperluan tempatan ketika itu. David percaya bahawa apa­bila gerabak tram dibawa masuk nanti, maka pengeluarannya akan bertambah kepada 700 atau 800 tan sebulan.

PINDAH MILIK

Namun demikian, beliau telah menjual hak ini kepada kerajaan Brooke pada 1889. Rajah Charles Brooke memba­yar sebanyak £25,000 kepada Cowie.

Kerajaan Brooke di Sarawak juga dikehendaki membayar royalti kepada Sultan Brunei setiap tahun. Pemindahan hak ini telah disaksikan oleh Gabenor Labuan, Arthur Shirley Hamilton.

Selepas pemindahan hak terse­but, kerajaan Sarawak menam­akan kawasan melombong arang batu di Muara itu sebagai Brooketon. Penjenamaan semula lombong tersebut menunjukkan usaha pemilikan oleh kerajaan Brooke terhadap daerah melom­bong tersebut.

PENGELUARAN

Dari segi pengeluarannya, lombong arang batu di Brooke­ton itu berjaya mengeluar arang batu dengan kadar yang tinggi. Pada April 1919, sejumlah sekitar 2,493 tan dengan 561 tan diguna untuk dandang (boiler).

Sejumlah 1,932 tan untuk dieksport ke luar Sarawak. Hanya 667 tan dijual kepada Straits Steamship Com­pany dan kapal-kapal laut tem­patan yang lain.

Jumlah ini meningkat lagi kepada 1,930 tan pada Mei 1919. Daripada jumlah itu, 562 tan digunakan untuk dandang dan selebihnya 1,368 tan dihantar ke luar Sarawak.

Arang batu ini dieksport ke Labuan. Di situ, kapal-kapal perang British akan mendapat bekalan arang batu tersebut. Pada Ogos 1922, pengeluaran kasar arang batu menampakkan penurunan iaitu 1,377 tan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 597 tan digunakan untuk dan­dang. Sejumlah 780 dihantar ke pangkalan untuk dieksport. Dari-pada jumlah tersebut, sejumlah 474 tan dihantar ke Labuan.

Selebihnya, iaitu 111 tan dibekalkan kepada H.H.S.Y. Zahora, P.S. Adeh dan kapal-kapal laut tempatan yang lain. Pengurangan pengeluaran ini boleh dikaitkan dengan penutu­pan salah satu lombong ceteknya yang terbakar.

PENUTUPAN

Pada September 1922 penge­luaran arang batu di Brooketon menampakkan peningkatan se-dikit kepada 1,532 tan. Dalam jumlah ini, sebanyak 647 tan dibekalkan kepada dandang.

Jumlah dihantar ke pangkalan untuk dieksport pula berjumlah 885 tan. Labuan sebagai desti­nasi utama pengeksportan hanya menerima sebanyak 397 tan.

P.S. Adeh dan kapal-kapal tempatan yang lain pula hanya menda-pat 111 tan. Peningkatan dalam pengeluaran ini dikaitkan dengan pembukaan semula lombong cetek yang terbakar.

Walaupun terdapat pening­katan pengeluaran arang batu di Brooketon, perbelanjaan untuk mengurus dan mentad­birnya banyak membebankan kerajaan.

Pada 1920, terdapat usaha rundingan dengan James Hatton Hall, seorang usahawan berbangsa Inggeris tetapi tidak berjaya. Akhirnya, Raja Vyner Brooke memutuskan untuk menutup lombong tersebut pada 1924 dan menyerahkan semula Muara kepada Brunei.

  • DR. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tags: Dr Suffian Mansor

Continue Reading

Previous: Beranikah anda naik pesawat tanpa juruterbang?
Next: Strategi PAS tarik pengundi Pantai Timur

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.