KUCHING: Brokoli dan kubis bunga yang ditanam di plot eksperimen di Pusat Penyelidikan Pertanian Semongok (ARC) di sini, mempunyai potensi besar,” kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas (gambar).
Uggah berkata demikian selepas membuat lawatan ke ARC pagi tadi, untuk melihat secara peribadi pembangunan projek itu.
“Saya telah merasai kedua-dua sayur itu dan (rasanya) boleh tahan… mungkin lebih enak daripada yang diimport dari China dan Australia kerana ia sangat segar.
“Ia adalah sayur-sayuran bernilai tinggi dan kami berharap dapat memindahkan teknologi kami ini kepada sektor swasta supaya mereka dapat menceburi penanaman secara komersial.
“Melalui cara ini kita dapat kurangkan import dan apabila mempunyai bekalan yang cukup, kita boleh eksport,” kata Uggah dalam kenyataan di sini semalam.
Uggah, yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah negeri berkata kedua-dua sayur itu ditanam di dalam bangsal, disembur makanan tambahan organik mengikut jadual dan bebas racun perosak.
Beliau berkata sayur-sayuran itu juga telah menunjukkan toleransi yang tinggi terhadap perosak, penyakit dan cuaca di kawasan tanah rendah.
“Brokoli menggunakan benih dari Taiwan dan Jepun, tanaman itu boleh dituai dalam tempoh 75 hingga 81 hari selepas disemai. Benih kubis bunga pula diperoleh dalam negara dan Taiwan. Ia boleh dituai dalam tempoh 69 hingga 90 hari,” katanya.-Bernama