BEKAS penjaga gol Manchester City, Claudio Bravo menandatangani perjanjian satu tahun dengan Real Betis di Sepanyol demikian diumumkan kelab La Liga itu semalam.
Ia akan menjadi tempoh ketiga pemain dari Chile itu beraksi di Sepanyol yang sebelumnya bermain untuk Real Sociedad selama lapan tahun dan menghabiskan dua musim di Barcelona.
Pemain berusia 37 tahun itu menandatangani kontrak dengan Man City pada 2016 dan bermain dalam dua skuad yang memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris.
Betis menamatkan musim lepas lima mata di atas zon penyingkiran dengan catatan pertahanan kedua terburuk dalam liga.
Melepaskan 60 gol dalam 38 perlawanan, hanya Real Mallorca yang tersingkir (65) melepaskan lebih banyak gol.
Sementara pemain antarabangsa Jepun, Yuto Nagatomo di jangka menandatangani kontrak dengan Marseille dengan pertukaran percuma untuk memberi perlindungan kepada pemain pertahanan kiri Jordan Amavi, kata jurulatih, Andre Villas-Boas semalam.
“Dia tiba hari ini (Ahad) di Marseille dan akan menjalani ujian esok.
“Kami harap semuanya berjalan lancar,” kata Villas-Boas kepada Telefoot setelah kemenangan 3-2 pasukannya di Brest dalam pertandingan pertama mereka dalam musim baru Ligue 1.
“Kami mencari pemain yang berpengalaman. Dia bermain 12 perlawanan dalam Liga Juara-Juara UEFA dua setengah tahun terakhir ini.
“Nagatomo mempunyai pengalaman menjadi kapten, pemimpin dalam bilik persalinan, dan dia berbicara beberapa bahasa.”
Nagatomo, yang berusia 34 tahun bulan depan, akan bertemu kembali dengan rakan sepasukan antarabangsa Hiroko Sakai di Marseille dan berfungsi sebagai pemain sokongan kepada Amavi, yang mana kelab berusaha untuk menandatangani perjanjian lanjutan.
Dia menghabiskan tujuh tahun dengan Inter Milan sebelum menyertai Galatasaray pada awal 2018.
Nagatomo telah bermain 122 kali untuk Jepun dan muncul untuk negaranya dalam tiga Piala Dunia terakhir. – AFP