
TANGKAP LAYAR....Tangkap layar dari siaran langsung netizen di lokasi bot karam di Belawai. Foto: Siaran langsung facebook Sulu Belawai.
TANJUNG MANIS: Ketua Polis Daerah (KPD) Sarikei, Superitenden Aswandy Anis mengesahkan telah menerima maklumat awal berkaitan kes bot karam di Belawai.
Setakat ini, katanya, beliau belum menerima maklumat lanjut berkenaan kes tersebut.
“Pihak kami ada menerima maklumat awal, cuma belum mempunyai maklumat lanjut lagi,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak.
Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar 2.11 petang tadi.
Dalam pada itu, dari maklumat tidak rasmi siaran langsung di lokasi oleh netizen, difahamkan bot tersebut membawa 10 orang mangsa warganegara Indonesia.
Difahamkan empat orang telah ditemui, dua orang difahamkan telah meninggal dunia.
Bagaimanapun, identiti kesemua mangsa masih belum dikenal pasti.
Setakat berita ditulis, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih dijalankan oleh pelbagai agensi penyelamat.
Berita lanjut menyusul.
Oleh Earl Anek