KUALA LUMPUR: Penyedia aplikasi e-dompet tempatan, Boost melancarkan kempen e-dagang bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro memudah cara pendigitalan perniagaan dalam talian dengan menyesuaikan diri kepada kebiasaan baharu.
Kempen E-Dagang PKS dan Mikro (PKSM) itu yang dijalankan secara kerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) adalah ruang yang sesuai bagi Boost untuk membantu dan melatih perniagaan mendigitasi bagi mengakses pasaran yang lebih besar sambil mempermudahkan proses pembayaran, kata syarikat itu.
Langkah ini dijangka dapat memacu perniagaan kepada pertumbuhan dan produktiviti yang lebih tinggi selain memperoleh manfaat sampingan berbentuk bantuan pengiklanan dan promosi oleh Boost, di samping kos permulaan sifar.
Sepanjang tempoh kempen yang berlangsung sehingga 30 Sept ini, peniaga yang menyertainya berpeluang menerima ganjaran dan manfaat bernilai RM1,500.
“Boost akan membantu peniaga mendigitasi dan bergerak ke dalam talian dengan menyediakan katalog e-dagang tersendiri dan diintegrasikan dengan ciri Boost Payment Link untuk pengalaman menyeluruh dalam talian yang lancar.
“Ciri ini membolehkan peniaga memaparkan produk yang pembeli dapat melihat dengan mudah, membuat pesanan kemudian membayar dengan pantas dan mudah melalui aplikasi Boost,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Boost Payment Link adalah inovasi baharu untuk membolehkan peniaga menerima bayaran melalui e-mel, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau Whatsapp.
Ketua Pegawai Eksekutif Boost Mohd Khairil Abdullah berkata, rangka inisiatif kerajaan dan MDEC itu bakal memberikan PKS dan perniagaan mikro akses kepada solusi digital inovatif yang mudah digunakan dan dapat membantu perniagaan bukan sekadar pulih dengan segera tetapi berkembang dengan jaya dalam kebiasaan baharu.
“Boost turut menawarkan perkhidmatan kewangan digital seperti pembiayaan mikro dan perlindungan perniagaan dengan produk insurans PKS serta mikro kami yang bakal dilancarkan,” katanya.
Mohd Khairil berkata peniaga boleh memohon pembiayaan mikro sehingga RM20,000 melalui rakan Boost, Aspirasi, penyedia pembiayaan digital, tanpa bayaran balik untuk enam bulan pertama menerusi Aspirasi Assist.
“Dengan kewujudan pembiayaan mikro yang mampu milik dan mudah akses, perniagaan dapat menumpukan usaha kepada memulakan semula operasi ketika kebiasaan baharu berbekalkan keanjalan kewangan,” katanya.
Untuk menyertai komuniti PKSM Boost, peniaga yang berminat boleh mendaftar dalam talian di https://www.myboost.com.my/business/penjana-msme-ecommerce-campaign-e-wallet/.- Bernama