SARIKEI: Seekor ular tedung tikus yang memasuki ruang tamu sebuah rumah dua tingkat di Jalan Chengal berjaya ditangkap oleh pasukan bomba dalam khidmat khas, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Vincent Baling berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.45 pagi.
“Respons dengan panggilan kecemasan, komander operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Hilary Pitre Ambit bersama dua anggota bomba bergegas ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati terdapat seekor ular tedung tikus berada di ruang tamu,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, anggota bomba kemudian bertindak menggunakan penjerut ular untuk menangkap reptilia itu dengan selamat.
“Ular tersebut berjaya ditangkap dan telah dilepaskan semula ke habitat asal yang jauh dari kawasan penempatan penduduk.
“Khidmat khas di lokasi selesai sepenuhnya pada 8.00 pagi,” katanya.
Oleh Earl Anek





