Bomba perhebat operasi padam kebakaran tanah gambut Lubok Punggor

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA bomba melakukan kerja pemadaman kebakaran tanah gambut di Kampung Lubok Punggor, Simunjan. Foto JBPM Sarawak

SIMUNJAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memperhebat operasi pemadaman kebakaran kebun tanah gambut di Kampung Lubok Punggor di sini yang memasuki hari keempat.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak, operasi dikendalikan sembilan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan diketuai Sahabuddin Abang.

Operasi pemadaman dilakukan menggunakan sumber air daripada takungan berhampiran rumah penduduk dengan dua nozel, selain satu aliran bantu mula bagi memadam kebakaran di bahagian tepi ladang kelapa sawit.

Sebuah jengkaut dari Pejabat Daerah Gedong yang tiba pada 2.45 petang turut digunakan untuk membina takungan air bagi membantu melancarkan operasi pemadaman.

CEGAH MEREBAK…Jengkaut digunakan untuk membina parit sebagai pemisah kebakaran bagi mengawal kebakaran tanah gambut di Kampung Lubok Punggor. Foto JBPM Sarawak

Selain itu, kerja membuat parit sepanjang kira-kira 100 meter berhampiran kawasan rumah dilaksanakan sebagai sistem pemisah kebakaran (fire break) bagi menghalang api daripada terus merebak.

Pemadaman turut diteruskan menggunakan pam air terbuka dengan aliran hos sepanjang kira-kira 600 kaki dan dua nozel bagi menangani kebakaran serta asap yang masih keluar dari tanah gambut.

Berdasarkan laporan operasi, sebahagian besar kawasan terjejas telah berjaya dipadamkan, namun masih terdapat kawasan tanah gambut yang mengeluarkan asap dan memerlukan tindakan pemadaman lanjut.

Operasi itu turut melibatkan sebuah jentera FRT, EMRS, Hilux dan Urvan, selain dibantu empat anggota polis dari IPD Simunjan serta empat petugas Pejabat Saliran Bahagian Samarahan.

Turut membantu ialah sebuah jengkaut dari Pejabat Daerah Gedong, manakala tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian berkenaan.

Operasi ditangguhkan pada 6.15 petang dan akan disambung semula keesokan hari bagi memastikan kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya.