SARIKEI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarikei telah menjalankan khidmat khas memusnahkan sarang tebuan di salah sebuah rumah di Lorong 5, Jalan Alamanda.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, PPgB Mahmudin Narudin berkata, sarang tebuan sebesar ukur lilit dua kaki berada di bawah atap luar dinding rumah tersebut.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan daripada penghuni rumah pada 7.15 malam semalam (kelmarin).
“Penghuni rumah meminta bantuan memusnahkan sarang tebuan kerana khuatir dengan keselamatan diri dan keluarganya,” katanya ketika dihubungi pemberita, pagi semalam.
Tambahnya, seramai empat anggota bomba diketuai oleh PBK II Haron Jenai bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan.
“Setibanya di lokasi, anggota bomba memakai Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) sebelum memusnahkan sarang tebuan.
“Sarang tebuan dimusnahkan oleh anggota bomba menggunakan alat penyembur racun serangga dan setelah memastikan keadaan selamat, pasukan bomba bertolak balik ke balai,” ujarnya.