WASHINGTON: Boeing, semalam, mengesahkan penyertaannya dalam program pembangunan senjata bersama Korea Selatan, tanpa menyatakan jenis sistem senjata yang dipertimbangkan.
Boeing menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Pentadbiran Program Pemerolehan Pertahanan Korea Selatan (DAPA), lapor United Press International (UPI) memetik kenyataan syarikat aeroangkasa yang berpangkalan di Virginia, Amerika Syarikat itu.
MoU itu menyaksikan kedua-dua pihak akan bersama-sama menyelidik, membangun dan memasarkan sistem senjata canggih yang menjadi kepentingan bersama. Bagaimanapun, kedua-dua pihak tidak menyatakan perincian berhubung sistem senjata itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Pertahanan, Angkasa dan Keselamatan Boeing, Ted Colbert dalam satu kenyataan berkata, selama lebih 70 tahun Boeing komited dalam kerjasamanya dengan Korea Selatan bagi mewujudkan perkongsian strategik untuk menyokong pakatan Amerika Syarikat-Korea Selatan.
Bahagian pertahanan Boeing menghasilkan pelbagai sistem senjata udara untuk pelanggan di lebih 15 negara.
Syarikat itu membelanjakan lebih AS$4 bilion sepanjang 15 tahun lalu dengan pembekal Korea Selatan, termasuk AS$250 juta tahun lalu dengan 50 syarikat.
Usaha bersama ini akan memberi impak positif kepada industri pertahanan Korea Selatan, terutama syarikat kecil dan sederhana yang memperoleh nilai berskala besar di peringkat awal sebagai sebahagian daripada rantaian nilai global Boeing, kata Menteri DAPA Korea Selatan Eom Donghwan dalam satu kenyataan.
Berita akan perkembangan ini menyusul pada hari yang sama selepas bahagian penerbangan komersial Boeing mengumumkan ia akan memperlahan dan menghentikan penghantaran beberapa jet penumpang 737 MAX keluarannya kerana kekurangan alat ganti. – Bernama – UPI