KUCHING: Festival Bintang dan Irama serta Tari Sarawak (BITS 2024) menjadi platform strategik untuk mengangkat bakat dan kreativiti penggiat seni tempatan, terutamanya golongan muda.
Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Amran Mohd Haris berkata, kerjasama antara JKKN dengan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) dalam penganjuran festival ini membuktikan komitmen kerajaan untuk memartabatkan seni tempatan.
Katanya, festival ini merupakan gabungan dua program utama – Festival Tari Malaysia dan Pertandingan Bintang Asli Remaja Peringkat Sarawak.
“Festival ini bukan sahaja pentas bagi peserta mempamerkan kebolehan seni mereka, malah juga medium untuk kita menghargai dan menyokong usaha mereka dalam mempromosikan warisan budaya,” katanya.
Beliau berkata demikian melalui teks ucapan yang dibacakan oleh Pengarah JKKN Sarawak, Noor Seela Noor Sulaiman pada Festival BITS 2024 di Auditorium Tun Ahmad Zaidi Adruce(TAZA), di sini, hari ini.
Pada festival itu, tujuh kumpulan persembahan tari berentap dalam Festival Tari Malaysia Peringkat Sarawak, sementara 10 peserta akhir akan bersaing dalam Pertandingan Bintang Asli Remaja bagi Kategori Lelaki dan Perempuan.
Beliau turut menegaskan bahawa pemenang bagi setiap kategori akan mewakili Sarawak ke peringkat kebangsaan pada tahun depan.
Katanya, ini menjadi bukti bahawa festival ini membuka peluang besar kepada peserta untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi dalam dunia seni.
Selain itu, Mohd Amran menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak, khususnya MTCP, atas sumbangan dana yang membolehkan penganjuran festival ini dijayakan.
“Dengan sokongan ini, JKKN akan terus memperkasakan program untuk mempromosikan budaya tempatan ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Festival BITS 2024 bukan sahaja bertujuan memupuk kecemerlangan dalam seni persembahan, malah juga menggalakkan perpaduan dan kefahaman antara masyarakat berbilang budaya di Sarawak.
Mohd Amran berharap festival ini akan menginspirasikan generasi muda untuk terus berkarya dan memperjuangkan seni dan budaya tanah air.
Johan Bintang Asli Remaja kategori lelaki dirangkul oleh Firmanul Hakim, manakala johan bagi kategori wanita pula dimenangi Puteri Nabilah Jamaluddin.
Kumpulan penari dari Baram, iaitu Gah Rentak pula dinobat sebagai johan Festival Tari Malaysia.
Oleh SHAHRUL QAIZAT
Gambar
PERSEMBAHAN JUARA…Persembahan Puteri Nabilah Jamaluddin yang dinobat juara Bintang Asli Remaja kategori wanita.