
SIBURAN: Kekayaan biodiversiti Sarawak berpotensi menjadi asas penting dalam usaha negeri ini membangunkan sendiri produk ubat-ubatan pada masa hadapan melalui pengukuhan kajian saintifik dan penyelidikan tempatan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, Sarawak mempunyai sumber semula jadi yang luas dan masih banyak yang belum diterokai secara saintifik untuk tujuan pembangunan farmaseutikal.
“Lebih banyak kajian perlu dilaksanakan oleh penyelidik dan saintis tempatan bagi mengenal pasti potensi bahan semula jadi yang boleh dimanfaatkan dalam bidang perubatan.
“Kita mahu lebih banyak kajian dijalankan oleh saintis dan penyelidik tempatan kerana masih banyak bahan dalam biodiversiti kita yang berpotensi digunakan untuk tujuan perubatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penangguhan Program Randau Komuniti UKAS 2026 di Kampung Menjau, di sini, hari ini.

Roland menjelaskan, usaha itu selari dengan aspirasi Sarawak untuk menghasilkan ubat-ubatan sendiri, termasuk mencari kaedah rawatan baharu bagi penyakit berjangkit seperti rabies.
Dalam pada itu, beliau berkata penubuhan Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) akan menjadi pusat penyelidikan khusus bagi memperkukuh kajian berkaitan penyakit berjangkit, pembangunan vaksin serta inovasi rawatan kesihatan.
Menurutnya, pusat berkenaan akan menghimpunkan pakar perubatan, saintis dan penyelidik bagi memperkukuh ekosistem penyelidikan kesihatan di negeri ini.
Beliau menambah, Sarawak turut merancang penganjuran Persidangan Antarabangsa Sains, Kesihatan, Inovasi dan Kejuruteraan (S’HInE) 2026 pada September depan yang akan menghimpunkan pakar tempatan dan antarabangsa dalam bidang kesihatan serta penyakit berjangkit.
“Melalui persidangan ini, kita berharap lebih banyak kerjasama penyelidikan dapat diwujudkan dan membuka jalan kepada penghasilan inovasi serta ubat-ubatan yang berasal dari Sarawak,” ujarnya.
Oleh Adele Rissa