PARIS: Bintang tenis Kazakhstan Elena Rybakina, telah menarik diri daripada Sukan Olimpik di Paris akibat masalah kesihatan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Rybakina menarik diri hanya beberapa jam selepas undian berlangsung di Roland Garros, hari ini.
“Selepas kejohanan Wimbledon, saya disahkan menghidap bronkitis akut dan walaupun cuba kembali untuk latihan, badan saya masih belum pulih.
“Doktor telah melarang saya untuk turun ke gelanggang.
“Saya sangat kesal kerana tidak dapat memenuhi harapan anda dan bermain untuk pasukan kami di Olimpik Paris.
“Saya hampir memenangi pingat di Tokyo dan telah bersiap sedia untuk Sukan Paris dan memenangi emas bagi Kazakhstan.
“Malangnya, penyakit menghalang rancangan ini dari menjadi kenyataan,” kata Rybakina dalam satu kenyataan.
Rybakina yang menduduki tempat keempat di Olimpik Tokyo telah menarik diri daripada beberapa kejohanan pada 2024, terutamanya atas masalah kesihatan.
Caroline Garcia dari Perancis akan mengambil tempat Rybakina dalam undian di Paris. – Bernama – dpa