KUALA LUMPUR: Kumpulan hartanah dan pembinaan Bina Puri Holdings Bhd menyasar menyertai lebih banyak tawaran tender untuk memanfaatkan peluang pasaran baharu dan usaha sama serta menambah simpanan tanahnya pada masa depan.
Pengarah Urusan dan Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan Chai Chan Tong berkata, syarikat itu menjangkakan prestasi sederhana bagi bahagian pembinaannya dalam tahun kewangan akan datang susulan pembentangan Belanjawan Malaysia Madani 2024 baru-baru ini.
“Bahagian itu akan memastikan pelaksanaan projek yang sedang berjalan disiapkan tepat pada masanya di samping menambah nilai perolehan projeknya dari pasaran tempatan dan juga luar negara,” katanya dalam Laporan Tahunan 2023 Bina Puri.
Chai berkata, nilai perolehan bahagian pembinaan itu berjumlah RM530 juta setakat Oktober tahun ini.
“Bahagian itu juga menyasar peluang di Malaysia Timur kerana ia menyedari potensi di wilayah tersebut bagi peluang pekerjaan pembinaan baharu dalam tempoh terdekat ini,” katanya.
Beliau berkata dalam Belanjawan 2024, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM12.4 bilion bagi pembangunan di Sabah dan Sarawak.
“Bahagian hartanah kekal optimis dengan sokongan berterusan daripada kerajaan untuk menggalakkan pemilikan rumah. Bahagian itu dijangka mencatatkan prestasi yang memuaskan pada tahun kewangan akan datang disokong oleh jumlah jualan tidak terjual bernilai kira-kira RM300 juta dan pembangunan bercampur di Kota Kinabalu pada masa depan.
“Syarikat juga menyasar menyertai usaha sama dan menambah simpanan tanahnya pada masa depan,” katanya.
Chai berkata, bahagian itu juga berhasrat untuk membangunkan pembangunan bercampur yang menggabungkan projek kediaman, liburan, runcit dan restoran dengan gaya hidup bandar yang dikenali sebagai Main Place di Kota Kinabalu.
“Pembangunan tersebut dijangka meningkatkan pertumbuhan perniagaan dan pelaburan di sepanjang Jalan Tuaran Bypass.”
Mencari peluang perniagaan baharu
Sementara itu, Pengerusinya Datuk Jaul Samion berkata, Bina Puri akan terus melaksanakan beberapa langkah untuk mengekalkan kestabilan operasi dan kewangan perniagaannya.
“Langkah-langkah itu termasuk kawalan kos berhemat, menjana keuntungan daripada aset yang mencatatkan prestasi rendah untuk mengurangkan risiko berkaitan dengan kewangan, kos buruh dan peningkatan harga bahan binaan,” katanya.
Jaul berkata, kumpulan itu sedang giat mencari peluang perniagaan baharu untuk mengukuhkan pendapatan berulangnya.
Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun lalu, kerugian bersih Bina Puri meningkat kepada RM121.24 juta berbanding RM74.74 juta pada tahun lepas manakala hasil berjumlah RM109.81 juta berbanding RM234.91 juta.
Bagi suku keempat Tahun Kewangan 2023, kerugian bersih meningkat kepada RM60.46 juta berbanding RM34.68 juta dalam suku yang sama tahun sebelumnya manakala hasil juga rendah turun kepada RM12.16 juta berbanding RM90.46 juta pada Suku Keempat Tahun Kewangan 2022. – Bernama