Pernah beraksi di dua Sukan Olimpik, iaitu di Atlanta dalam tahun 1996 dan Sydney (2000), Watson kini mencurahkan ilmu larian yang dimiliknya kepada empat pelari pecut muda negeri Sarawak.
“Kesemua mereka ini berumur 17 tahun dan terlibat dalam latihan untuk persiapan bagi menghadapi cabaran Sukan Malaysia (Sukma),” katanya.
Watson berkata sebagai alternatif kepada latihan balapan, atlet-atlet yang dilatihnya kini menumpukan kepada latihan yang berbentuk setempat bagi membina kekuatan fizikal dan mental untuk mengekalkan kecergasan mereka di tahap optimum
“Kita gunakan kaedah persidangan video secara langsung menerusi aplikasi ‘WhatsApp’ ketika sesi latihan, jadi apabila sesi ini dijalankan, saya dapat memberikan arahan secara terus berkenaan rutin latihan yang perlu mereka lakukan sepanjang sesi latihan itu,” katanya.
Seorang lagi bekas wira sukan negara, Sapok Biki, 46, turut menghadapi cabaran sama dalam mempersiapkan 13 petinju muda Sarawak untuk menghadapi Sukma yang ditangguhkan ke tahun hadapan ekoran wabak COVID-19 dan penguatkuasaan PKP dan kini Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.
Pemenang pingat emas acara light flyweight di Sukan Komanwel 1998 itu kini menjadi jurulatih skuad tinju Sarawak.
“Jika tiada penganjuran besar di peringkat kebangsaan sebelum SUKMA nanti, kita akan panggil semua kelab tinju di Sarawak ini untuk perlawanan persahabatan sebagai persiapan petinju-petinju yang mewakili negeri pada temasya itu nanti,” katanya.
Sapok berkata atlet tinju perlu menyertai sekurang-kurangnya dua kejohanan sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan sebagai persiapan untuk menghadapi acara kejohanan sasaran mereka.
Katanya penyertaan dalam kejohanan itu sebelum Sukma diperlukan untuk mendedahkan dan membiasakan atlet skuad tinju negeri dengan suasana kejohanan, selain mengelakkan mereka mendapat kejutan ketika kejohanan sebenar berlangsung.
“Fokus latihan skuad tinju ketika PKPB menjurus kepada bentuk latihan pemulihan dan meningkatkan kekuatan fizikal serta pengekalan tahap kecerdasan petinju terbabit memandangkan latihan berat seperti latihan sparing tidak dapat dilakukan.
Semua petinju kita berlatih mengikuti jadual yang dimuat naik ke dalam kumpulan mereka, yang kemudian diminta menghantar balik video latihan mereka lakukan. Latihan ini dilakukan dua kali sehari selama kira-kira satu jam setengah bagi setiap sesi,” katanya. – Bernama