BINTULU: Bilangan gelandangan seluruh Sarawak menunjukkan peningkatan akibat terkesan dengan pandemik Covid-19.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, situasi tersebut dapat dilihat pada data yang diambil semasa melakukan pencerapan sebelum proses vaksinasi bagi golongan terbabit.
Justeru itu, beliau menekankan bahawa masalah gelandangan adalah isu yang perlu diberikan perhatian sewajarnya.
“Semasa mula membuat cerapan yang pertama pada 25 Julai lalu untuk seluruh negeri Sarawak, data yang kita kumpul pada masa itu didapati berbeza sedikit dengan yang terkini.
‘Misalnya untuk Bintulu, hanya 18 orang sahaja dikesan semasa membuat pencerapan pertama tapi cerapan kali kedua didapati ada 48 orang” katanya pada sidang media Program Vaksinasi Komuniti Gelandangan di Pejabat Residen di sini pada malam Sabtu.
Tambahnya, disebabkan pandemik Covid-19, ramai yang terjejas teruk sehingga kehilangan punca pendapatan sekali gus menyebabkan mereka tidak mampu untuk membayar sewa tempat tinggal.
“Saya percaya, setelah mendengar kisah daripada dua gelandangan tadi yang mana mereka ini berasal dari Kapit datang ke sini untuk bekerja, kebanyakannya hilang pekerjaan akibat pandemik.
“Jadi apabila telah hilang pekerjaan, mereka secara langsung tiada pendapatan atau duit untuk menyewa yang akhirnya terpaksa masuk dalam komuniti gelandangan,”jelasnya.
Bagaimanapun, beliau percaya bahawa keadaan akan menjadi lebih baik dengan sektor ekonomi kini yang boleh beroperasi semula seperti dahulu.
“Apabila keadaan sekarang ini iaitu sektor ekonomi telah dibuka, peluang pekerjaan juga akan wujud semula.
“Jadi, kita berharap mereka ini nanti juga akan mendapat pekerjaan supaya tidak lagi menjadi gelandangan sebaik sahaja mempunyai pendapatan,” katanya.
Dalam pada itu, Fatimah memberitahu, data yang diperoleh melalui proses cerapan itu adalah satu langkah yang bagus untuk mengetahui situasi gelandangan di negeri ini.
“Ini adalah ‘maping’ yang kita buat untuk seluruh negeri sarawak, melibatkan bilangan gelandangan dan berapa dos vaksin yang mereka ambil bagi mengetahui sama ada telah lengkap vaksinasi atau belum.
“Dan ini juga merupakan data yang bagus untuk kita kerana ia juga memberi maklumat tentang sama ada mereka adalah gelandangan yang bersifat sementara ataupun gelandangan tegar,” ujarnya.
Oleh CAROLYNE UTIH