KUALA LUMPUR: Baru sahaja dianugerahi gelaran Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin tampil memukau lebih 18,000 peminat yang hadir di Pesta Muzik CUCKOOTOPIA bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-10 CUCKOO, malam tadi.
Mendendangkan lagu Bukan Cinta Biasa dan medley beberapa lagu hitnya yang lain, penyanyi tersohor tanah air itu turut meluahkan rasa syukur atas penghargaan yang beliau diterima pada Rabu lepas, selain berterima kasih kepada peminat atas sokongan mereka di sepanjang kerjayanya.
“Ini (anugerah Biduanita Negara) semua telah direzekikan dan saya rasa ini semua di atas kerja keras hampir 30 tahun dalam industri. Inipun sebab peminat-peminat yang menyokong saya,” katanya selepas membuat persembahan itu.
Konsert berdurasi lima jam yang diadakan di Surf Beach, Sunway Lagoon dekat sini, menampilkan lebih 10 artis tanah air, termasuk Jaclyn Victor, DOLLA, 3P, Tomok, Siti Nordiana, Priscilla Abby, Bunkface dan Firdhaus Farmizi.
Tirai konsert dibuka dengan persembahan penyanyi ikonik The Lima dan Illa Sabry, kedua-duanya merupakan peserta musim terbaharu Gegar Vaganza, selain bintang baharu sedang meningkat naik Umairah.
Tidak cukup dengan itu, konsert yang bermula tepat 8 malam tersebut diserikan dengan aksi bertenaga kumpulan DOLLA yang mendendangkan lagu ‘Classic’ dan ‘Damelo’, menggamit penonton untuk turut sama berdansa.
Hujan yang membasahi peminat ketika sedang berseronok menyaksikan persembahan Tomok dan Siti Nordiana, bukan penghalang bagi mereka memberikan sorakan gemuruh kepada kedua-dua penyanyi yang sempat berduet melantunkan lagu Memori Mungkin Berulang.
Para peminat pelbagai bangsa semakin riuh apabila Jaclyn Victor memecah kedinginan malam dengan lagu hitnya Ikut Rentakku, lebih-lebih lagi penyanyi bersuara lantang itu bijak berinteraksi dengan penonton di konsert tersebut.
Sempat menitipkan ucapan “Selamat Hari Jadi CUCKOO yang ke-10”, juara Malaysian Idol musim pertama itu juga menghadiahkan lagu Gemilang kepada syarikat tersebut kerana sudah sedekad ditubuhkan di Malaysia.
Menyusuli jeritan “we want more” daripada penonton yang membanjiri ruang terbuka itu, kumpulan Bunkface tidak mengecewakan apabila tampil menghiburkan dengan lagu mereka Malam Ini Kita Punya, Situasi dan Revolusi.
Di penghujung konsert, para peminat dihadiahkan dengan penampilan khas Kim Soo Hyun, iaitu duta terbaharu CUCKOO, dan lebih menarik penonton berpeluang bergambar jarak jauh dari skrin dengan aktor terkenal K-Drama itu menerusi sesi ‘Cam Fans’.
Ketua Pegawai Eksekutif CUCKOO International KC Hoe berkata kembalinya Kim sebagai duta jenama pada ulang tahun ke-10 syarikat itu amat bermakna kerana mencerminkan ikatan berkekalan syarikat dengan rakyat di negara ini.
“Kim merupakan wajah global CUCKOO ketika CUCKOO International ditubuhkan di Malaysia, dan kini 10 tahun kemudian beliau menyertai kami semula pada saat yang sangat penting, iaitu permulaan dekad baharu dan hala tuju terbaharu kami untuk menginspirasikan rakyat Malaysia menjadi pencipta kediaman sihat (Healthy Home Creator) yang tersendiri,” katanya.
Hoe yang juga Pengarah Eksekutif syarikat itu, berkata kejayaan CUCKOO selama 10 tahun di negara ini terbina daripada kepercayaan dan sokongan berterusan masyarakat di seluruh negara.
“Bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-10 ini, kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah menjayakan semua ini, termasuk pasukan kami, rakan kongsi, pelanggan dan para peminat,” katanya.– BERNAMA