

ALHAMDULILLAH, sekali lagi kita diberi ruang dan peluang untuk melangkah ke bulan ramadan. Bulan yang dinanti-nantikan. Doa kita setiap Ramadan yang lalu telah Allah SWT izinkan kita berkesempatan berada dalam bulan yang penuh rahmat dan keberkatan ini yang mana Rasulullah SAW seringkali berdoa:
“Ya..Allah, berkatilah kami dalam bulan Syaaban, dan (panjangkan umur kami) sehingga bertemu dengan Ramadan.”
Betapa besarnya rahmat Ilahi bila mana kita dipanjangkan umur sehingga bertemu dengan Ramadan. Kerana sabda Rasulullah SAW:
“Antara Ramadan ke Ramadan adalah pengampunan Allah.”
Hadis ini memberi makna, sesiapa yang dipanjangkan umur sehingga dapat bertemu dengan Ramadan, maka Allah SWT akan mengampuni dosa-dosanya (dosa kecil).
Sambil kita melafaz syukur dengan kesempatan Ramadan kali ini sudah tentu kita juga mempunyai harapan agar terus dalam keadaan sihat walafiat serta dapat memantapkan lagi amal ibadah kita.
Harapan Ramadan Lebih Bermakna
Kita yang mendambakan kedatangan bulan ini, sudah semestinya kita bersedia dan jiwa kita mempunyai kesedaran bagaimana memasuki bulan mulia ini.
Berada di dalam madrasah Ramadan adalah untuk mendidik jiwa serta nafsu supaya tunduk dan patuh pada kehendak Allah SWT.
Usaha mendidik nafsu diri bertujuan agar ia dijinakkan dan disalurkan ke arah yang betul supaya jiwa kita dapat merasai hakikat hubungan kerohanian dengan Allah SWT.
Selepas Ramadan yang lalu, kita mengharungi kehidupan dunia ini dengan segala pancaroba ujiannya sehingga kita merasa letih, lesu dan tidak bersemangat umpama bateri yang telah kehilangan casnya.
Adalah sebaiknya kita mengecas semula bateri jiwa kita ini agar ia dapat bangun dan bersemangat semula dalam melakukan amal ibadah.
Harapan kita agar dapat bangkit semula menyibukkan diri sehingga mampu melaksanakan tuntutan dan tanggungjawab kepada Allah SWT dalam segala aspek kehidupan ini.
Janganlah kita asyik sibuk dengan persediaan-persediaan lain yang banyak membuang masa yang amat bernilai ini.
Belum masuk lagi Ramadan kita sudah sibuk hendak menyambut hari raya. Ramadan lebih utama dan sepatutnya ia diberi fokus penting. Kita perlu mempunyai azam agar Ramadan kali ini lebih baik dari tahun lepas.
Sama-sama kita berdoa agar Allah SWT panjangkan umur kita dan mudah-mudahan kita diberi kemampuan untuk melaksanakan ibadah puasa dalam bulan yang paling mulia dengan pelbagai kelebihan dan keistimewaannya.
Kelebihan Dan Keistimewaan
Bulan Ramadan
Bulan Ramadan memiliki banyak kelebihan dan keistimewaan, baik dari segi spiritual, sosial, mahupun kesihatan. Antara kelebihan utama Ramadan ialah:
1. Bulan yang Paling Mulia
Ramadan adalah bulan yang paling mulia dalam Islam kerana Allah SWT memilihnya sebagai bulan ibadah dan pengampunan dosa. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, 185: “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia serta keterangan yang menjelaskan petunjuk dan pembeza (antara yang benar dan yang batil).”
2. Diturunkan al-Quran
Al-Quran diturunkan pada malam Lailatul Qadar dalam Ramadan, yang menjadikannya bulan penuh keberkatan. Sepertimana dalam Surah al-Qadr, 1 yang bermaksud: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.“
3. Pintu Syurga Dibuka, Pintu Neraka Ditutup
Ramadan merupakan satu bulan yang disebut sebagai bulan bermulanya rahmat, ditengahnya pengampunan dan akhirnya merdeka daripada api neraka.
Dalam hadis sahih, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila datang bulan Ramadan, pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup, dan syaitan-syaitan dibelenggu.” (HR Bukhari & Muslim)
4. Ganjaran Berlipat Ganda
Setiap amalan kebaikan pada Ramadan diberi pahala berlipat kali ganda. Puasa juga menjadi perisai dari api neraka dan menambahkan ketakwaan kepada Allah SWT.
Pahala dicurahkan, keampunan dan rahmat Allah SWT dibentangkan memenuhi setiap ruang dan waktu sepanjang berpuasa.
Seseorang yang merasa bahawa amalannya tidak cukup pada hari biasa, perlu berusaha bersungguh-sungguh mencari ganjaran pahala yang melimpah ruah dengan kedatangan Ramadan.
5. Doa Mustajab
Ramadan dianggap waktu yang sesuai bagi kita menadah tangan untuk membaca doa mustajab supaya hajat, amalan dan permohonan kita dikabulkan oleh Yang Maha Esa.
Perkara ini disebut oleh Allah SWT dalam hadis Qudsi yang berbunyi: “Wahai manusia, ketika kamu berdoa dan berharap untuk-Ku, Aku mengampuni dosa-dosamu dan Aku tidak peduli lagi dengan dosamu.” Manakala HR. Ayt Tirmidzi: “Sesungguhnya, Allah SWT memahami keadaan setiap manusia yang lemah dan memerlukan Rahmat-Nya.”
6. Malam Lailatul Qadar
Malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan dan penuh keberkatan serta keampunan bagi mereka yang beribadah dengan ikhlas.
Sepertimana firman Allah SWT dalam Surah al-Qadr, 2-5 yang bermaksud :“Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!”
7. Kesempatan Untuk Taubat dan Pengampunan Dosa
Ramadan adalah bulan keampunan di mana Allah SWT memberi peluang kepada hamba-Nya untuk bertaubat dan memperbaiki diri.
Sesiapa berpuasa Ramadan dan berjaga malamnya dengan penuh kepercayaan dan ketulusan ikhlasnya nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu.
Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (HR Bukhari & Muslim)
8. Meningkatkan Keinsafan dan Kesabaran
Puasa Ramadan pastinya memerlukan kesabaran yang tinggi kerana umat Islam perlu menahan diri daripada makan dan minum sepanjang hari. Ini menjadi asas pembentukan sifat sabar dan keinsafan dalam menghadapi cabaran hidup. Kesabaran ini membantu individu menangani stress dan rintangan dengan tenang, juga membentuk akhlak yang sabar, tabah serta insaf dalam diri.
9. Menggalakkan Sedekah dan Kebajikan
Selain daripada ibadah utama yang dijalankan seperti puasa, solat berjemaah, solat sunat tarawih, solat sunat witir, qiamullai dan tadarus al-Quran, sedekah juga menjadi amalan yang sangat dinantikan oleh setiap daripada umat Islam khususnya para dermawan yang sentiasa bersedia untuk berinfak bagi tujuan ihya’ Ramadan.
Allah SWT berfirman maksudnya: “Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah seumpama sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (Kurnia-Nya) lagi maha mengetahui.” (Surah al-Baqarah: 261)
10. Kebaikan Dari Segi Kesihatan
Puasa membantu menyahtoksin badan, meningkatkan sistem imun dan memberi rehat kepada sistem pencernaan.
Kesejahteraan tubuh merupakan aset penting bagi menjalani rutin harian seperti bekerja, beribadah dan lain-lain.
Justeru, kehadiran Ramadan memerlukan kita menjaga kesihatan agar bertenaga untuk beribadat sekali gus berpuasa juga akan memberi nikmat dalam pelbagai aspek.
Amalan berpuasa juga mempunyai kelebihan luar biasa dari sudut psikologi selain terbukti berkesan terhadap kekuatan fizikal. Berpuasa juga adalah terapi kepada banyak penyakit fizikal dan mental serta spiritual.
Secara keseluruhan, puasa Ramadan bukan hanya berkaitan menahan lapar dan dahaga, tetapi juga platform untuk membentuk akhlak yang baik.
Proses ini melibatkan pengukuhan kesabaran, kesyukuran, kasih sayang, penguasaan diri dan pengampunan.
Dengan memahami hubungan yang mendalam antara puasa dan pembentukan akhlak yang baik, umat Islam dapat melibatkan diri sepenuhnya dalam ibadah ini untuk mencapai kematangan spiritual dan moral yang tinggi. Banyak pedoman daripada al-Quran dan juga sunnah Rasulullah SAW berkaitan fungsi dan peranan puasa. Wallahu ‘alam Bissawab