Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Bersederhana bawa barangan ke tanah suci bantu mudah pergerakan
  • NASIONAL

Bersederhana bawa barangan ke tanah suci bantu mudah pergerakan

Utusan Sarawak 2 hours ago

MAKKAH: Ketika membuat persiapan menunaikan ibadah haji di Tanah Suci, Makkah, ada dalam kalangan jemaah yang beranggapan semakin banyak barangan dibawa, semakin selamat dan tenang untuk beribadah.

Beg dan bagasi kemudian dipenuhi dengan pakaian tambahan, stok makanan segera, kudapan, ubat-ubatan serta pelbagai keperluan harian, kerana bimbang tidak mencukupi apabila tiba di Tanah Suci.

Hakikatnya, selepas lebih dua minggu mengikuti operasi haji, penulis melihat dan merasai sendiri bahawa panggilan sebagai Dhuyufur-Rahman (tetamu Allah) ini jauh daripada soal membawa barangan berlebihan.

Buktinya, sebahagian besar barangan yang dibawa jemaah dari tanah air masih tersusun rapi di dalam bagasi, malah ada yang langsung tidak digunakan sejak hari pertama ketibaan.

Pakaian yang dibawa berhelai-helai akhirnya hanya beberapa pasang digunakan secara berulang, memandangkan kemudahan dobi disediakan berhampiran tempat penginapan.

Bekalan makanan seperti sambal goreng, mi segera, biskut dan snek yang pada awalnya dianggap ‘wajib dibawa’ turut hampir tidak disentuh, berikutan Lembaga Tabung Haji (TH) menyediakan hidangan makanan selain terdapat pelbagai pilihan makanan mudah diperoleh di sekitar hotel.

Akhirnya, bagasi dan beg yang sarat itu hanya menjadi tambahan kilogram kepada jemaah dengan barangan yang tidak digunakan.

Seorang jemaah dari Selangor, Mohd Azman Ibrahim, 58, berkata beliau membawa satu beg tambahan yang dipenuhi makanan dan pakaian kerana bimbang sukar mendapatkan keperluan ketika menunaikan ibadah haji.

“Bila sampai di sini, baru saya sedar sebenarnya semua cukup. Makanan ada, kedai pun banyak, TH pula menyediakan pelbagai kemudahan termasuk klinik percuma untuk jemaah.

“Pakaian pun tidak habis dipakai kerana kebanyakan masa kami fokus kepada ibadah. Jika tahu begini, saya akan bawa sedikit sahaja. Lagi ringan, lagi mudah untuk bergerak,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Rombongan Haji Malaysia Mohd Hisham Harun berkata membawa barangan secara sederhana bukan sahaja memudahkan jemaah, malah membantu melancarkan pergerakan terutama ketika proses daftar masuk hotel, perpindahan antara lokasi dan urusan penerbangan pulang.

“Ramai jemaah datang dengan persediaan yang sangat baik, tetapi kadangkala membawa terlalu banyak barangan yang sebenarnya boleh dibeli di sini atau tidak digunakan langsung.

“Kami sentiasa menasihatkan jemaah supaya membawa keperluan asas sahaja dan mengutamakan keselesaan bergerak kerana ibadah haji sendiri menuntut kekuatan fizikal,” katanya.

Hasil pemerhatian penulis, keterujaan membeli cenderamata turut menjadi antara faktor kepada peningkatan berat bagasi, meskipun kebanyakan barangan popular seperti sejadah bersulam nama, tasbih, patung unta dan aksesori hiasan sebenarnya boleh didapati menerusi platform jualan dalam talian di Malaysia.- Bernama

Continue Reading

Previous: PM arah kadar sewa premis perniagaan milik agensi Persekutuan diturunkan
Next: Pasangan kekasih ditahan disyaki sembunyi kelahiran, gugur janin secara paksa – Polis

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.