KUALA LUMPUR: Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa bukan masa sesuai untuk berebut kuasa dan bersengketa semasa sendiri ketika negara bergelut dengan pandemik Covid-19.
Sebaliknya, baginda bertitah ini adalah masa untuk semua pihak bersatu padu tanpa mengira anutan agama, warna kulit mahupun fahaman politik serta mengamalkan sikap tolong menolong.
“Ini bukanlah masanya untuk merebut kuasa, bersengketa mahupun banyak berbicara tanpa berbuat apa-apa tindakan. Kita harus menang dalam peperangan dengan musuh yang tidak kelihatan ini,” titah baginda sempena majlis perasmian sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang 2021 secara dalam talian semalam.
Menerusi titah ucapan yang disiarkan secara langsung di Dewan Auditorium Kolej Universiti Yayasan Pahang itu, Tengku Hassanal turut menyeru semua pihak termasuk kerajaan negeri, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan swasta termasuk penghulu, ketua kampung serta jawatankuasa masjid dan surau agar sentiasa cakna kepada rakyat yang memerlukan bantuan ketika pandemik.
“Saya tidak mahu ada rakyat saya yang berada dalam kelaparan kerana tidak mempunyai makanan serta keperluan asas untuk meneruskan kehidupan. Satu bakul makanan yang berharga lebih kurang RM100 mungkin kecil pada kita, tetapi pada mereka yang susah, ia amat besar nilainya,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda bertitah semangat kejiranan yang tinggi juga dituntut ketika ini apabila anak-anak yang jauh tidak dapat pulang ke kampung manakala saudara-mara juga tidak dapat berziarah.
“Pepatah jangan jaga tepi kain orang mungkin tidak lagi relevan. Saya menasihatkan agar kita semua sentiasa prihatin kepada jiran masing-masing dan berikan bantuan bersesuaian kepada yang memerlukan,” titah Tengku Hassanal.
Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail itu, bekas Kadi Besar Pahang Allahyarham Syed Abdul Rahman Syed Mohammad Benyahya dianugerah Tokoh Maal Hijrah Pahang 2021.
Sementara di Kota Kinabalu dalam majlis sambutan peringkat negeri, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin menyeru umat Islam supaya bermuhasabah, bertaubat dan kembali menghayati bersungguh-sungguh ajaran Islam ketika negara berdepan pelbagai cabaran akibat pandemik Covid-19.
Ini kerana, katanya, ajaran Islam mengandungi pelbagai kaedah serta peraturan yang diturunkan Allah bagi menyejahterakan ummah kerana usaha secara fizikal semata-mata, tidak memadai untuk mengatasi cabaran itu.
“Penting untuk kita lakukan apa yang diperintahkan olehnya dan tinggalkan apa yang dilarang…kelalaian manusia untuk terus akur dan tunduk kepada peraturan Allah merupakan antara sebab berlaku musibah dan bencana bersilih ganti sejak akhir-akhir ini,” katanya.
Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah 2021/1443 juga diadakan secara dalam talian dengan turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor dan Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Arifin Mohd Arif.
Pada majlis itu, bekas Timbalan Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah Tan Sri Ampong Puyon dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Sabah 2021/144, dan dianugerahkan sijil perhargaan serta wang tunai RM25,000.
Ampong, 82, menerusi interaksi secara sidang video pada majlis itu, berterima kasih atas penganugerahan itu dan menasihatkan semua terutama umat Islam supaya terus mengeratkan silaturrahim dengan semua orang tanpa mengira latar belakang.
Bekas Ahli Parlimen Labuk-Sugut dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut itu pernah memegang pelbagai jawatan dalam NGO dan sukan antaranya Pengerusi Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah, Naib Presiden Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia, Presiden Persatuan Hoki Sabah dan Presiden Persatuan Tinju Amatur Sabah. – Bernama