Oleh: Roslan Jomel
NASKHAH yang dipilih pada kali ini berkisah tentang pengalaman narator terserempak dengan hantu. Benarkah hantu boleh dilihat? Apakah kewujudan itu hanya disebabkan oleh mental yang keletihan?
Kisah bertajuk “Dorm Kemunting”, ditulis oleh Zanulariffin Zawawi. Latar belakang kejadian itu di Sarawak. Jika bukan kerana terpaksa menetap di dorm belakang blok makmal, maka, narator tentu tidak menemui entiti yang tidak diundang. Sepatutnya, sempena cuti Hari Gawai, narator balik ke Mukah. Mahu tidak mahu, narator terpaksa menunggu keesokan pagi sebelum emaknya datang menjemput. Tempoh waktu menunggu itu berbagai-bagai perkara pelik yang dialami oleh narator. Percaya atau tidak, dia berhubungan dengan entiti berlainan alam yang disangka manusia normal. Jin, hantu, syaitan, iblis, apatah lagi malaikat, memang wujud.
Sejak permulaan lagi, narator mengesani dorm yang menjadi tempat untuknya bermalam, seperti ada yang mencurigakan. Sunyi, lengang, tidak berpenghuni. Perasaannya menjadi tidak menentu. Secara mengejut, seorang cikgu (warden asrama sekolah), Muslim, namanya, memaklumkan kepada narator bahawa dia tidak bersendirian di situ. Hal itu menggembirakannya. Ada beberapa orang pelajar bakal menemaninya. Kononnya telah didenda kerana melakukan kesalahan, tidak dibenarkan untuk bercuti. Tidak lama kemudian, sebagaimana dikatakan Cikgu Muslim, tiga lembaga, entah manusia sebenar entah manusia jadian, menawarkan makanan kepada narator. Mereka bakal menemani dan menghantui narator.
Malah, Raihan, watak utama, seorang pelajar, sempat berkenalan dan berbual dengan mereka, layaknya berhubungan dengan manusia-manusia normal. Raihan terbangun pada waktu pagi dan menyedari bahawa dirinya berada di lobi sekolah. Bukankah dia sebelum itu tidur di dalam dorm belakang blok makmal? Mengapakah dia berada di titu? Siapakah yang mengangkat tubuhnya tanpa disedari? Raihan telah berbual-bual dengan tetamu tiga pelajar yang lebih berusia daripadanya tanpa sebarang rasa syak. Yusuf, Victor dan Latif, termasuk Cikgu Muslim. Dia yakin mereka manusia biasa. Tetapi selepas dimaklumkan oleh dua orang Pengawal Keselamatan, tiga orang senior yang dimaksudkan oleh Raihan sudah pun lama meninggal dunia. Raihan terkesima.
Malahan Cikgu Muslim mati membunuh diri akibat depresi yang ditanggungnya. Jiwa Cikgu Muslim semakin hancur kerana mengenang kesilapan yang dilakukannya. Ibu bapa kepada ketiga-tiga pelajar memandang serong pada Cikgu Muslim atas perbuatan yang tidak bertanggungjawab itu.
Tentu, Raihan tidak mempercayai apa yang diberitahu Pengawal Keselamatan kepadanya. Sedangkan dia baru berbual-bual dengan mereka. Cikgu Muslim bahkan masih hidup pada pandangan Raihan. Keadaan emosi Raihan bercampur-baur. Pihak manakah yang benar? Raihan bertambah tidak yakin bahawa apa yang dilaluinya hanyalah ilusi. Mustahil. Seram atau tidak pengalaman yang dilalui oleh Raihan itu?
Memang payah untuk menerangkan perkara aneh sebegitu kepada masyarakat awam. Apatah lagi mereka yang terlalu berpegang pada fakta saintifik dan berpemikiran empirikal. Tidak semua kejadian boleh ditunjukkan secara fizikal dan secara inderia. Misalnya kewujudan jin, yang tidak mampu dilihat secara mata kasar oleh manusia. Tambahan pula, tidak semua hantu, berwajah mengerikan dengan rambut menggerbang dan bergigi taring, sebagaimana kerap ditayangkan di kaca televisyen. Itu hanyalah kosmetik, lakonan dan rekayasa.
Sastera meraikan pelbagai jenis dan pendekatan dalam penulisan. Sungguh membosankan jika karya sastera bersifat seragam dan tiada variasi dalam gaya penceritaannya. Demikian juga kehidupan, ada pelbagai jenis sifat dan ragam dalam diri seseorang yang wajar diterima sebagai fitrah kehidupan. Andai semua manusia terpelajar berlagak serius, tidak boleh diajak bergurau (tidak mengerti sindiran), alangkah keras dan kosongnya karakter sedemikian. Demikian dalam aspek-aspek penulisan yang sepatutnya berwarna-warni dan menawarkan pengalaman baharu. Ada karya yang tampaknya seperti jenaka (misalnya dalam sajak-sajak lucu SN Rahman Shaari), tetapi sebenarnya menyampaikan mesej serius tentang realiti kehidupan.
Menulis sebuah naskhah dengan unsur-unsur seperti seram, sedih, komedi, fantasi dan serius, bukanlah hal yang sukar. Malangnya, hal yang paling menyakitkan dalam proses penulisan ialah, bagaimana hendak menyampaikan cerita yang melekat dalam fikiran itu dihamparkan di atas halaman dengan menarik serta meninggalkan kesan ke dalam emosi dan fikiran pembaca.
Sejujurnya, apa yang hendak disampaikan oleh Zainulariffin Zawawi belumlah lagi benar-benar menakutkan pembaca. Mengapa? Bukan sahaja teknik penyampaian kisahnya masih berada pada tahap amatur, malahan, peristiwa didatangi oleh entiti yang sudah lama meninggal dunia, bukanlah hal baharu. Audiens pada masa kini sudah terlalu biasa dengan kisah-kisah sedemikian. Pada suatu peringkat, kisah-kisah seram yang sudah biasa ditonton atau dibaca, memerlukan perspektif berbeza dan unik untuk disampaikan.
Penulisan Zainulariffin Zawawi baik, kemas dan lancar. Pembaca tidak berasa sulit untuk mengikuti cerita kerana pengarang telah menyampaikan kisah dengan bahasa yang mudah. Namun, karya sastera yang bagus dan berkredibiliti, bukan hanya terletak pada kelancaran berbahasa. Subjek cerita yang hendak ditonjolkan menagih lebih daripada ketepatan bahasa. Pengarang sudah pun memiliki idea yang baik untuk dikembangkan ke dalam bentuk karya kreatif. Naskhah berunsur seram yang berkisah tentang kemunculan individu-individu yang sudah meninggal dunia, bukanlah topik yang menyenangkan. Ia menuntut pengarang bekerja dengan lebih keras, terutama pada adegan-adegan yang sepatutnya meninggalkan kesan kejutan kepada para pembaca. Bolehlah merujuk kepada karya-karya bergenre demikian untuk meningkatkan nilai penulisan ke tahap yang lebih meyakinkan pembaca.
Katalah benar apa yang dilalui oleh Raihan, ia pasti suatu pengalaman yang istimewa kepadanya. Tentu selepas insiden itu, Raihan tidak berasa skeptikal lagi dengan hakikat bahawa bukan hanya manusia di alam semesta. Tetapi, sebaik sahaja kita menyedari kehadiran tiga entiti itu telah menyebabkan beberapa orang pelajar perempuan berasa ketakutan, itu bukan perkara main-main. Ancaman yang mengganggu sebegitu paling menjengkelkan. Kononnya tiga entiti itu memerhati mereka dari tingkap makmal sains ketika melakukan eksperimen dalam kelas Sains. Lentera di dorm yang berhantu itu kerap terpasang dan terpadam sendiri. Bahkan seorang pelajar Tingkatan 1 diganggu oleh kemunculan entiti itu ketika membuang air kecil sehingga demam panas selama seminggu. Sudah tentu peristiwa itu menimbulkan suasana keriuhan dan kehidupan para pelajar menjadi porak-peranda menjelang malam. Suasana yang selesa sebelumnya menjadi lebih menyusahkan pula buat para pelajar yang ingin membersihkan diri selepas membuang air besar/kecil.
Mengapa Raihan, pada detik permulaan, mendapat layanan khas daripada ketiga-tiga pelajar yang mati akibat dihukum oleh Cikgu Muslim itu? Kemudian, keadaan menjadi sebaliknya buat Raihan. Ketiga-tiga pelajar bermasalah itu cenderung untuk menakut-nakutkan Raihan. Mujurlah tidak terjadi hal-hal yang lebih daripada itu. Dia hanya dialihkan dari tempat tidur. Tentu Raihan tidak ingin masuk ke dorm yang sudah lama tidak berpenghuni itu lagi. Tidaklah pelik jika Cikgu Muslim memunculkan diri dan mengganggu pelajar baharu lain pula selepas ini. Gangguan yang dialami Raihan dalam dorm berhantu oleh tiga pelajar misteri sudah cukup melemahkan jiwanya. Terutama apabila terkenangkan semula wajah Yusuf yang tiba-tiba berubah menjadi pucat dengan mulutnya menitis air liur berdarah, betapa peristiwa itu menyeramkan kepada Raihan. Kisah seram di asrama sekolah, hospital dan rumah tinggalan memang sudah biasa didengari. Namun, tidak semua berpeluang seperti Raihan yang bertemu secara langsung dengan entiti itu. Suatu persoalan muncul kembali pada bahagian ini, adakah Raihan bermimpi ketika kejadian itu berlaku?
Jika diikutkan, cerita yang berlaku dalam naskhah “Dorm Kemunting” itu mampu meninggalkan kesan seram dan menghantui imaginasi para pembaca. Masalahnya berpunca daripada kaedah penceritaan. Naskhah “Dorm Kemunting” terlalu lurus dan kurang mendatangkan debaran atau saspens yang amat diperlukan dalam menulis kisah seumpama itu. Memang atas teks, pengarang membahagikan dua babak untuk menyampaikan kisahnya. Babak pertama, dia berhubungan dengan emaknya. Dimaklumkan bahawa ada kejadian yang tidak dapat dielakkan. Emak Raihan hanya menjemputnya dari sekolah untuk balik ke Mukah pada keesokan hari. Dan dua babak berikutnya ialah tentang dua kejadian paranormal yang menjadi agenda utama naskhah itu dihasilkan. Teknik pembabakan itu sedikit sebanyak membantu untuk menghubungkan jalan cerita. Pada penghujung babak terakhir, barulah dimaklumkan perkara sebenar latar belakang kemunculan beberapa entiti sudah lama meninggal dunia itu. Ketika itulah, masa dan logik, bukan lagi isu penting.
Baiklah, andai pun pembaca berasa sedikit ditakuti, elemen itu tidak benar-benar membekas dalam fikiran. Apatah lagi sampai mengigau dalam tidur selepas membaca cerita yang dikarang oleh Zainulariffin Zawawi itu. Namun, berbeza kesannya kalau seseorang tu mengalami perkara yang dialami oleh Raihan secara nyata. Berlainan pula kesannya sewaktu menonton filem-filem seram di pawagam yang dibantu dengan adegan kejutan, atau dalam bahasa Inggerisnya, jumpscare, untuk mendatangkan impak ketakutan kepada para penonton.
Dalam filem The Exorcism of Emily Rose, para penonton tentu tergamam kerana gangguan hantu yang menyebabkan Emily sengsara itu hanya dimunculkan dalam bentuk bayang hitam sahaja. Secara psikologi, paparan yang minima sebegitu lebih meninggalkan kejutan yang pasti diingati oleh para audiens.
Keseluruhan naskhah “Dorm Kemuning” masih boleh dipuji. Cerita menemui pembacanya, bagai anak panah mengenai sasaran dengan tepat. Meminjam nasihat Ernest Hemingway, pilihlah kata-kata ringkas dan padat agar cerita yang benar-benar terjadi itu berjaya mengejutkan pembaca secara alamiah. Dan, aspek itulah yang sering gagal dikuasai atau dikawal oleh sebahagian besar pengarang. Jangan menyulitkan pemahaman pembaca dengan bahasa berbelit-belit dan penulisan yang lintang-pukang. Kononnya untuk menambahkan nilai kecanggihan dalam tekstur penulisan. Walhasil, ia malah hanya membingungkan. Padahal isi cerita yang hendak dikongsi itu tidak kesampaian kepada pembaca. Itulah asas penulisan klasik yang sering dinasihatkan kepada mana-mana pengarang, baik muda dan berpengalaman.
Ditinjau cara pengarang naskhah “Dorm Kemunting” menyampaikan cerita, ia tidaklah menyukarkan pemahaman pembaca. Saya memuji penulisan Zainulariffin Zawawi daripada dimensi itu. Tetapi, sekali lagi diperingatkan, kaedah pengisahan untuk cerita yang abnormal sebegitu, wajar disampaikan dengan teknik yang lebih canggih dan meyakinkan.
Di sinilah pentingnya memberi kepelbagaian dalam cara bercerita. Harus ada kelainan dalam usaha untuk menambahkan daya tarik kepada karya penulisan. Kisah hantu sudah semakin klise, maka wajar ditulis dengan lebih menarik lagi untuk menambahkan kesan keseraman atau nilai komedinya. Tidak semestinya, kisah bertema hantu wajib disampaikan dengan pendekatan untuk menyeramkan pembaca. Ada alternatif lain agar kisah bertema hantu tidak menjadi semakin seragam. Jika masih sahaja tersekat pada pendekatan yang serupa untuk menyampaikan kisah bertema hantu, maka, sudah pasti ia bukan hal yang baik untuk standard penulisan.
“Saya yakin, ketakutan adalah akar dari kebanyakan tulisan buruk,” demikian kata novelis tersohor Stephen King yang kerap menghasilkan karya-karya bergenre seram dan saspens. Bahkan bukan sedikit karya-karya tulisannya dipindahkan ke layar perak, sama ada dalam bentuk filem atau drama bersiri di televisyen. Beliau menambah, “deskripsi bermula dalam imaginasi penulis, tapi berakhir dalam imaginasi pembaca.” Meyakinkan pembaca dengan situasi, pengalaman dan kepelikan dalam kisah sesebuah karya kreatif memang akan berlanggaran dengan hukum-hakam kebiasaan.
Sementara Budi Darma (Harmonium, 2023) mengingatkan, “imaginasi dalam karya sastera absurd dan surealistik tentu sahaja hanya dapat diukur dengan logika sastera absurd dan surealistis. Imaginasi para pengarang aliran ini sama sekali tidak logik menurut logika sehari-hari, akan tetapi merangsang kontemplasi pembaca.”
Menelusuri jauh ke lapisan terdalam, naskhah “Dorm Kemunting” bukan sekadar bercerita tentang kewujudan mereka yang sudah lama meninggal dunia itu semata-mata. Mari anjakkan ke satu pemikiran yang bertentangan dengan tema cerita yang difokuskan. Andai pihak sekolah hendak merobohkan dorm yang sudah lama terbengkalai selama 20 tahun itu, adakah tiga pelajar nakal yang mati akibat didenda itu turut lenyap? Mengapa makmal itu dibiarkan begitu sahaja? Lebih baik diubah suai menjadi sebuah ruangan yang memberi manfaat kepada para pelajar. Tiada sesiapa yang boleh menjamin entiti yang tidak diundang itu tidak menyakat para pelajar. Pihak sekolah seeloknya menjemput mana-mana pihak berkelayakan untuk mengendalikan kes paranormal sedemikian.
Manakala Cikgu Muslim yang terdera secara psikologi akibat ketelanjuran diri sendiri, wajar dijadikan mesej kepada mana-mana cikgu yang bertugas. Hal ini kerana, sikap dan kelakuan yang gagal dikendalikan dengan fikiran waras hanya mendatangkan malapetaka berpanjangan dalam hidup seseorang. Nasi sudah menjadi bubur. Yang perlu diambil ialah ibrah daripada insiden itu. Hal yang dinukilkan oleh pengarang naskhah “Dorm Kemunting” merupakan secebis daripada kisah masyarakat sebenar. Mungkin Zainulariffin Zawawi mendapat ilham penulisan cerpen itu berdasarkan bacaan atau tontonannya. Tetapi, sebagai manusia, kita mengakui memang wujud gangguan seperti diceritakan menerusi naskhah berhantu itu.