Jika ditanya apakah hobi seseorang pada masa lapang pastinya terdapat pelbagai variasi jawapan yang akan diberikan.
Tidak dinafikan, terdapat pelbagai cara beriadah yang boleh dilakukan bersama keluarga untuk mengisi masa terluang terutamanya di hujung minggu.
Jadi, tidak hairanglah jika ada sesetengah individu yang menjadikan aktiviti berkebun sebagai pengisi masa lapang.
Aktiviti berkebun ini bukan sahaja dapat dilakukan bersama ahli keluarga, malah berkebun juga dianggap sebagai terapi untuk menenangkan diri sambil bersantai.
Aktiviti berkebun juga mendatangkan banyak manfaat lain bagi mereka yang meminatinya.
Ini diakui oleh seorang ibu kepada tiga anak, Zoriwati Aminsin yang mendapat kepuasan dan ketenangan fikiran apabila mengusahakan kebun bunga di halaman rumahnya di Kampung Bahagia Jaya Teku, di sini.
Katanya, beliau amat meminati aktiviti bercucuk tanam ini terutamanya menanam pokok bunga.
“Mungkin terdapat sesetengah orang berpendapat bahawa menanam pokok bunga tidak mendatangkan hasil seperti menanam tumbuhan lain seperti sayur-sayuran.
“Benar, tanam pokok bunga tidak boleh dibuat makan. Namun, manfaat menanam pokok bunga memang besar sebagai terapi jiwa.
“Jiwa lebih tenang dan ceria dan ini lebih penting daripada wang ringgit,” katanya.
Wanita yang berumur 44 tahun ini memberitahu, tugas harian sebagai pembantu operasi bukanlah penghalang baginya untuk melakukan perkara yang diminatinya.
Katanya, pantang ada masa terluang, pasti akan dihabiskan untuk membelek pokok bunga yang ditanam di halaman rumah.
“Penat dan lelah selepas balik dari kerja akan hilang sebaik sahaja melangkah masuk ke halaman rumah yang dipenuhi dengan pokok bunga dan tumbuhan hijau,” ujarnya.
Zoriwati memberitahu, terdapat pelbagai jenis pokok bunga yang ditanamnya.
“Antaranya ialah bunga bidara arab, bunga daun keladi dan tidak ketinggalan tumbuhan yang tular suatu ketika dahulu ‘snake plant’.
“Selain itu, saya juga suka mengumpul koleksi pokok kaktus. Terdapat beberapa jenis kaktus yang berbeza bentuk dan warna menjadi koleksi saya,” ujarnya.
Ditanya mengenai cabaran utama dalam aktiviti menanam bunga, wanita berjiwa kental ini memberitahu, terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi.
“Antaranya ialah serangan serangga perosak. Masalah ini pastinya dihadapi oleh semua peminat tanaman,” ujarnya.
Dalam pada itu, Zoriwati berkata, beliau selalu mendapatkan petua-petua menanam bunga dengan menyertai kumpulan menanam di media sosial.
Katanya, melalui media sosial, beliau dapat berkongsi maklumat dan pengalaman bersama yang lain.
“Komuniti ini banyak memberi panduan dan tip untuk hasilkan tanaman yang segar dan sihat,” katanya.
Oleh NURZILLA MOHAMAD