Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Berjaya ‘tebus’ semula kekalahan
  • SUKAN

Berjaya ‘tebus’ semula kekalahan

Utusan Sarawak 3 years ago

JUARA… Skuad badminton negara meraikan kejayaan merangkul pingat emas selepas berjaya menewaskan
India pada perlawanan akhir badminton campuran berkumpulan pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 di
Dewan National Exhibition Centre(NEC), England semalam. • Foto BERNAMA

MISI akhirnya tercapai apabila pingat emas berpasukan campuran Sukan Komanwel kembali kepada Malaysia selepas skuad badminton campuran negara berjaya ‘menebus’ semula kekalahan 1-3 kepada India pada edisi Gold Coast 2018, sekali gus menumbangkan juara bertahan itu juga dengan kedudukan 3-1, pada perlawanan akhir Sukan Komanwel Birmingham 2022, semalam.

Bermain di National Exhibition Centre Hall Five yang hampir dipenuhi penonton, pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020 Aaron Chia-Soh Wooi Yik memulakan kemenangan semalam dengan mengatasi pasangan beregu utama India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.

Kedua-dua pemain yang menunjukkan permainan cemerlang pada set pertama, saling bersaingan dari mata pertama sehingga kedudukan 18-18, sebelum Aaron Chia-Wooi Yik memenanginya 21-18.

Set kedua menyaksikan Aaron-Wooi Yik terus mengawal perlawanan dengan mendahului lima mata pada 16-11, dengan serangan kencang yang sering menyebabkan pasangan India itu kehilangan mata, sehingga memberikan mata pertama Malaysia, selepas menang set kedua 21-15.

Goh Jin Wei yang turun pada perlawanan kedua pula layak mendapat pujian, kerana walaupun ketinggalan 1-8 kepada bekas juara dunia Pusarla V. Sidhu, pemain profesional negara itu berjaya menyamakan kedudukan 18-18, sebelum tewas 22-20.

Pada set kedua, Jin Wei terus memberikan persaingan sengit kepada Pusarla, sebelum tewas 17-21 dan membolehkan India menyamakan kedudukan 1-1.

Pemain perseorangan utama kebangsaan Ng Tze Yong kemudiannya membolehkan Malaysia mendahului semula pada perlawanan ketiga, selepas beliau menang perlawanan sengit tiga set ketika berhadapan bekas pemain nombor satu dunia Kidambi Srikanth.

Tze Yong berjaya mengatasi Srikanth pada set pertama 21-19, sebelum seperti hilang punca dan tewas mudah 21-6 pada set kedua.

Bagaimanapun set ketiga menyaksikan Tze Yong kembali ke gelanggang dengan lebih baik dan berjaya memberikan mata kedua kepada Malaysia dengan mengatasi Srikanth 21-16.

Membawa semangat kemenangan Tze Yong itu, pasangan beregu wanita negara Pearly Tan-M.Thinaah memastikan emas keempat bagi acara itu menjadi milik negara selepas edisi Melbourne 2006, New Delhi 2010 dan Glasgow 2014, dengan mengalahkan pasangan Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela, 21-18, 21-17.

Sebaik menang, Thinaah melompat kegembiraan, Pearly melutut pada ketika keseluruhan pasukan Malaysia menyerbu ke gelanggang bagi meraikan kemenangan buat negara.

Sementara itu, gangsa dimenangi Singapura yang mengalahkan pasukan tuan rumah 3-0.-Bernama

Continue Reading

Previous: Kuching FA cipta sejarah
Next: Teruja dapat sentuhan Watson

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.