LIMBANG: Pengguna jalan raya diingatkan agar sentiasa berhati-hati ketika memandu dalam perjalanan balik kampung untuk mengelak berlaku kemalangan pada musim cuti perayaan Tahun Baharu Cina (TBC) ini.
Ketua Polis Daerah Limbang Superintendan Parum Niot berkata, ini penting bagi memastikan mereka memandu pulang ke kampung halaman dapat meraikan perayaan TBC bersama keluarga.
“Saya juga menasihatkan kepada seluruh masyarakat semasa memandu kenderaan dan menunggang motosikal pastikan memandu dan menunggang dengan berhati-hati,” katanya ketika ditemui media pada Mmajlis Malam Mesra, Jasamu Dikenang, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang, kelmarin.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah Limbang DSP Peter Jumat dan Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Limbang Ann Minah Giyang.
Beliau berkata anggotanya juga akan meningkatkan rondaan di kawasan perumahan bagi mengelak berlakunya aktiviti jenayah termasuk kecurian dan pecah rumah semasa sambutan perayaan TBC ini.
“Sempena perayaan TBC yang menjelang tiba, saya menasihatkan masyarakat sebelum meninggalkan rumah pastikan rumah dalam keadaan selamat, berkunci dan jika meninggalkan rumah pastikan maklumkan kepada pihak kami di IPD Limbang untuk kami membuat rondaan ke rumah yang ditinggalkan,” katanya.
Oleh Adeng Edrus