KUCHING: Kementerian PengangkutanSarawak (MOTS) memandang serius dan secara konsisten memantau jadual penerbangan dan kekerapan datang ke Sarawak seiring dengan keputusan daripada Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).
Menteri Pengangkutan, Datuk Lee Kim Shin (gambar) berkata, kementerian terbabit turut bekerjasama dengan beberapa agensi untuk memastikan syarikat penerbangan mematuhi sepenuhnya keputusan yang dibuat oleh JPBN bagi mengurangkan penularan Covid-19 di Sarawak.
“JPBN telah memutuskan bahawa jadual penerbangan dan kekerapan dari luar datang ke Sarawak untuk setiap syarikat penerbangan sejak 1 Oktober lalu.
“Oleh itu, kami ingin menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati sebelum membeli sebarang tiket penerbangan.
“Mereka hanya boleh membeli tiket berdasarkan jadual dan kekerapan penerbangan yang diluluskan oleh JPBN untuk mengelakkan kerumitan dan kesulitan yang tidak perlu bagi mereka.
“Keputusan JPBN dalam menyetujui kekerapan penerbangan ke Sarawak dibuat setelah mempertimbangkan pelbagai faktor iaitu keadaan Covid-19 yang membimbangkan di negeri lain di Malaysia, jumlah pusat dan bilik kuarantin yang terdapat di negeri ini, keperluan untuk memudahkan pergerakan barang dan orang, keupayaan perubatan dan barisan hadapan dalam menangani ujian saringan dan keperluan untuk melindungi rakyat kita dari Covid-19 di Sarawak,” katanya dalam kenyataan media
di sini, semalam.
Lee berkata, pihaknya telah menerima aduan dari beberapa penumpang bahawa syarikat penerbangan menerima tempahan mereka dan tambang mereka dibayar dengan sewajarnya tetapi penerbangan mereka
dibatalkan.
Katanya, syarikat penerbangan tersebut tidak mengembalikan wang pelanggan, sebaliknya hanya mengekalkan jumlahnya
sebagai kredit.
“Kami ingin mengingatkan semua syarikat penerbangan untuk mengikuti jadual penerbangan dan kekerapan yang diluluskan oleh JPBN ke Sarawak ketika mempromosikan serta menjual tiket udara kepada
orang ramai.
“Dalam hal ini, penumpang perlu dibayar balik tambang tiket penerbangan mereka sama ada secara tunai atau kredit terus ke akaun bank mereka kerana penerbangan yang dibatalkan oleh syarikat penerbangan kerana ia tidak disenaraikan yang diluluskan oleh JPBN,” jelasnya.
Jelasnya, kementeriannya telah berkomunikasi dengan Kementerian Pengangkutan,Kuala Lumpur mengenai perkara berkenaan.
“Kerjasama daripada semua syarikat penerbangan untuk memanfaatkan sepenuhnya penggunaan aerobridge di semua lapangan terbang Sarawak.
“Masalah ini telah menimbulkan ketidakselesaan dan masalah keselamatan kepada penumpang terutama warga tua, kanak-kanak kecil dan orang-orang berkeperluan khas.
“Kita berharap syarikat penerbangan peka terhadap keperluan penumpang ini di negeri ini, lebih-lebih lagi pada musim hujan ini,” ujarnya
Oleh JEAKQLEYN YACHO