TATAU: Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan misi penghantaran bantuan makanan ke kawasan pedalaman Daerah Tatau menggunakan helikopter AW 139.
Misi tersebut dijalankan mulai 30 Januari hingga 1 Februari, dengan penghantaran sebanyak 7,293 kilogram (kg) atau 663 bungkusan makanan ke kawasan Nanga Tau dan Penyarai.
Menurut Pegawai Tadbir Daerah Tatau, Raden Azamry Raden Perhan, sekurang-kurangnya 20 tan makanan dihantar ke kawasan pedalaman yang terjejas banjir, termasuk Kakus, Ulu Anap, Kem Gabong, dan Long Beyak.
Helikopter AW 139 dipandu oleh Kapten Superintenden Awang Hasbullah Awang Ghazali bersama pembantu juruterbang, Deputi Superintenden Polis Aris Hadi Alili dan pemerhati udara, Sarjan Roger Kidim serta Sarjan Mejar Chelodi Renuan.
Selain penghantaran melalui udara, bantuan makanan juga dihantar melalui jalan sungai dan darat, melibatkan agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Daerah Tatau, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tatau, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tatau/Sebauh, Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan Agensi Pengurusan Bencana.
Semua usaha tersebut bertujuan untuk memastikan bantuan sampai kepada penduduk yang memerlukan di kawasan terjejas banjir.
Oleh Carolyne Utih