Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Belia Sarawak gesa bandar lebih bersih, selamat dan mesra kanak-kanak
  • TEMPATAN

Belia Sarawak gesa bandar lebih bersih, selamat dan mesra kanak-kanak

Utusan Sarawak 3 hours ago
TELFORD Engan Tan ketika menghadiri Simposium Reformasi Perundangan Hak Kanak-Kanak di Parlimen Malaysia. Beliau menggesa penambahbaikan aspek kebersihan bandar, keselamatan pejalan kaki dan pencegahan denggi dalam usaha mewujudkan bandar mesra kanak-kanak. Foto: Ihsan Telford Engan Tan.

KUALA LUMPUR: Wakil belia Sarawak, Telford Engan Tan menggesa pihak berkuasa mempertingkatkan aspek kebersihan bandar, keselamatan pejalan kaki dan langkah pencegahan denggi bagi memastikan Kuala Lumpur menjadi sebuah bandar yang benar-benar mesra kanak-kanak.

Beliau menyuarakan perkara itu ketika menghadiri Simposium Reformasi Perundangan Hak Kanak-Kanak: Akta Kanak-Kanak 2001 dan Amalan Baik di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) yang berlangsung di Parlimen Malaysia baru-baru ini.

Menurut Telford, pelaksanaan konsep bandar mesra kanak-kanak perlu diterjemahkan secara menyeluruh melalui penyediaan persekitaran yang bersih, selamat dan mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat, khususnya kanak-kanak.

Simposium tersebut membincangkan pelbagai isu berkaitan reformasi hak kanak-kanak, akses kepada keadilan, pembangunan bandar mesra kanak-kanak serta peranan institusi dalam memperkukuh pelaksanaan hak kanak-kanak di Malaysia.

Dalam sesi yang melibatkan wakil pembangunan Kuala Lumpur, beliau membangkitkan keperluan meningkatkan standard kebersihan bandar, kebolehjalanan (walkability), perlindungan kesihatan awam dan penguatkuasaan bagi merealisasikan matlamat bandar mesra kanak-kanak.

“Sesebuah bandar tidak boleh dianggap mesra kanak-kanak sekiranya kanak-kanak dan keluarga mereka tidak dapat berjalan dengan selamat atau dilindungi daripada risiko kesihatan awam yang boleh dicegah,” katanya.

Telford yang baru-baru ini dimasukkan ke hospital akibat denggi berkata, pengalaman tersebut memberi kesedaran bahawa isu denggi bukan sekadar masalah kesihatan awam, malah berkait rapat dengan tadbir urus bandar dan kualiti hidup penduduk.

Katanya, setiap penduduk dan pembayar cukai berhak menikmati infrastruktur awam yang selamat tanpa perlu berdepan risiko penyakit akibat kelemahan aspek kebersihan, sistem perparitan, kawalan nyamuk dan penguatkuasaan.

Beliau turut berkongsi kebimbangan mengenai ahli keluarga terdekat yang beberapa kali dimasukkan ke hospital akibat denggi, sambil menegaskan bahawa keluarga tidak seharusnya berdepan gangguan terhadap kesihatan, kewangan, pelajaran atau pekerjaan akibat risiko persekitaran yang boleh dicegah.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa tempatan dan pengendali tapak pembinaan memperkukuh langkah pencegahan denggi serta meningkatkan standard kebersihan bandar, khususnya di kawasan perumahan berpenduduk padat.

Menurutnya, pemeriksaan berkala dan aktiviti pengasapan perlu dilaksanakan secara konsisten di kawasan berisiko tinggi seperti ruang bawah tanah bangunan kediaman, sistem perparitan, kawasan pelupusan sampah, tapak pembinaan dan lokasi yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk.

Dalam pada itu, Telford turut menekankan bahawa keselamatan pejalan kaki merupakan komponen penting dalam pembangunan bandar mesra kanak-kanak.

Beliau berkata, bandar seharusnya direka bentuk untuk memenuhi keperluan kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan pejalan kaki, bukannya hanya memberi keutamaan kepada kenderaan.

“Kebolehjalanan adalah isu hak kanak-kanak. Jika seorang kanak-kanak tidak dapat berjalan dengan selamat ke sekolah, melintas jalan, mengakses ruang awam atau bergerak dalam komuniti mereka sendiri, maka perancangan bandar telah gagal mengambil kira realiti kehidupan harian mereka,” katanya.

Beliau turut menggesa Kuala Lumpur dan bandar-bandar lain di Malaysia agar melihat inisiatif bandar mesra kanak-kanak sebagai satu komitmen serius yang merangkumi aspek kesihatan, keselamatan, aksesibiliti, kebersihan dan penyertaan masyarakat.

Telford, 20, merupakan pelajar undang-undang dan ahli Kumpulan Penasihat Belia (YPAG) kepada UNICEF Malaysia.

Continue Reading

Previous: Pemantauan sekolah diperketat susulan dakwaan salah laku guru di Lawas
Next: Sarawak buat keputusan tepat tolak kemasukan pelarian Rohingya pada 2017

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.