ASAJAYA: Para belia mesti fleksibel dan tidak fokus kepada satu bidang yang diminati sahaja untuk menambah pendapatan.
Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan mewakili Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, orang muda dan belia harus mengembara untuk menceburi banyak bidang sebab keadaan ekonomi tidak menentu.
“Apabila tidak menentu, kita terpaksa beralih kepada bidang lain. Jadi kita harus bersedia dan mesti pandai menyesuaikan diri dalam keadaan ekonomi yang dilanda Covid-19,” katanya semasa membaca teks Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah di Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil Penyertaan Kursus Asas Fotografi (Telefon Pintar) serta Penyampaian Geran Pembangunan Belia dan Sukan Asajaya di Pejabat Daerah Asajaya, di sini, semalam.
Selain itu, Snowdan berkata, pihak kementerian telah merancang sebanyak 80 program bagi tahun ini yang merupakan salah satu program yang dirancang khasnya untuk menghimpun belia-belia yang berminat dalam kursus ataupun bidang fotografi agar dapat meningkatkan lagi daya kreativiti dan inovatif mereka.
Sehubungan itu, Datuk Snowdan Lawan berkata, salah satu daripada objektif kursus ini adalah untuk memberi pendedahan kepada belia-belia betapa pentingnya e-Foto.
“Sekarang ini zaman IT dan digital, bukan sahaja golongan belia yang harus mengetahui mengenai e-Foto ini malahan orang-orang tua juga terpaksa kerana kita bergerak dan berubah mengikut masa.
“Sebab itu, belia-belia mesti memperkasakan mereka sendiri dan menyiapkan diri mereka dengan teknologi digital,” jelasnya.
Menurutnya, diakui sangat mencabar untuk bertahan dalam bidang perniagaan, lebih-lebih lagi pada masa ini dalam masalah pandemik Covid-19 ini masalah kemerosotan ekonomi yang mengakibatkan banyak belia-belia kita yang hilang punca pendapatan,” kata beliau.
Ujar Sowdan, belia di Sarawak haruslah produktif, inovatif, kreatif, dipandang tinggi dan setanding dengan negara luar.
Tambahnya, harapan kementerian adalah untuk melihat belia-belia berjaya suatu hari kelak dan negeri Sarawak menjadi sebuah negeri atau di antara negeri yang ekonomi yang kuat dan paling maju dalam masa 10 tahun iaitu pada 2030.
“Itulah aspirasi Ketua Menteri kita. Jadi kita memain peranan dan bersama-sama kita menggembleng tenaga untuk memastikan kejayaan Ketua Menteri demi kejayaan negeri Sarawak,” ujanya.
Terdahulu, seramai 50 peserta pada hari ini yang terdiri daripada belia setempat yang menyertai kursus yang telah diadakan selama dua hari bermula 25 hingga 26 Julai.
Sementara itu, Snowdan turut menyampaikan replika cek bernilai RM10,000 kepada Tertuan Jawatankuasa Kelab Rekreasi Dan Sosial Pejabat Daerah Asajaya.
Oleh Cheryl Law