
KUCHING: Harga tiket AirBorneo kekal sama walaupun dibeli ketika musim perayaan seperti Hari Raya dan Gawai atau pada saat akhir kerana syarikat penerbangan itu mengamalkan konsep harga tetap.
Pengerusi AirBorneo, Datuk Amar Abu Bakar Marzuki berkata, perkara itu antara yang diberi perhatian selepas beliau melihat pelbagai reaksi warganet di media sosial yang mempersoalkan harga tiket selepas pengumuman tambang dibuat.
“Ada yang komen positif dan ada juga komen negatif diterima, namun pihak kami melihat harga yang ditawarkan AirBorneo berjaya menstabilkan pasaran apabila syarikat penerbangan lain turut menawarkan harga yang lebih kurang sama. Maksudnya kita berjaya. Kita berjaya stabilkan harga.
“Ada juga terima maklumat daripada beberapa pengguna yang perlu membayar tambang sehingga RM700 atau RM800 bagi perjalanan ke Kuala Lumpur, malah ada yang mencecah RM1,000 terutama ketika musim perayaan.
“Tetapi bagi kami, itu adalah harga tetap. Anda pergi Raya, anda pergi Gawai, anda beli pada saat terakhir, anda beli sekarang, itu adalah harga yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis meja bulat AirBorneo bersama media di sebuah hotel terkemuka di sini hari ini.
Dalam pada itu, Abu Bakar berkata AirBorneo menyasarkan untuk menjadi sebuah syarikat penerbangan premium yang menawarkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Sarawak serta pengguna dari luar negeri.

“Walaupun AirBorneo sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan terbaik, orang ramai juga perlu memahami bahawa membangunkan sebuah syarikat penerbangan bukan sesuatu yang boleh dilakukan dalam tempoh singkat.
“Industri penerbangan merupakan sektor yang kompleks dan tertakluk kepada pelbagai keperluan regulasi, menyebabkan setiap langkah perlu dilaksanakan secara terancang serta mengikut proses yang ditetapkan.
“Jangan mengharapkan sesuatu yang sempurna. Banyak perkara yang perlu diperbaiki. Kita akan menjadikannya sebagai sebuah syarikat penerbangan yang kompetitif untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat kita,” katanya.
Jelasnya lagi, dalam industri penerbangan, kerjasama dengan pemain industri lain amat penting kerana syarikat penerbangan tidak boleh bergerak secara bersendirian, selain mengharapkan sokongan media dalam membantu memperkenalkan AirBorneo kepada masyarakat.
Untuk rekod, semalam AirBorneo mengumumkan pembukaan jualan tiket bagi laluan Kuching-Kuala Lumpur dengan tambang bermula RM375 sehala bagi Kelas Ekonomi dan RM736 sehala bagi Kelas Perniagaan, yang kemudian menerima pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial berkaitan harga tambang penerbangan.
Oleh Masrin Affirah