MUKAH: Pasar basah Mukah tetap meriah menerima kunjungan orang ramai, lebih-lebih lagi menjelang pengundian esok bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (OPRU-15).
Malah sesetengahnya membeli sayur-sayuran dan ikan kerana khuatir tiada masa untuk berbuat demikian esok memandangkan turun mengundi bagi menunaikan tanggungjawab.
“Kerana esok kita akan turun mengundi, tak pasti pukul berapa kita pergi dan habis mengundi. Kemungkinan besar kita tak sempat nak beli ikan (esok).
“Jadi hari ini mahu tak mahu saya harus membeli. Apatah lagi cuaca sekarang tak menentu, entah adakah tidak ikan dijual esok,” kata salah seorang pelanggan yang ditemui hari ini.
Utusan Sarawak yang membuat tinjauan rambang di Pasar Basah Mukah hari ini mendapati ramai pelanggan sedang membeli ikan.
Ia semedikian kerana kebanyakan meja jualan masih dipenuhi oleh hasil laut yang menyebabkan orang ramai berada di lokasi popular Mukah itu, biarpun ia sudah hampir ke tengah hari.
Seorang peniaga memberitahu pada musim cuaca yang tidak menentu, ada pelanggan tidak terlalu menghiraukan harga dan jika pun ada naik sedikit, mereka menganggap ia sebagai perkara biasa.
Oleh Henry B Siyu