BINTULU: Memahami keperitan petani yang terjejas untuk memasarkan hasil pertanian mereka berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Bintulu mengambil inisiatif untuk membeli hasil tanaman berkenaan.
Ahli Parlimen Bintulu, Dato’ Seri Tiong King Sing menerusi laman rasmi akaun Facebook beliau berkata, pihaknya membeli hasil tanaman penduduk rumah panjang yang dikenakan kawalan pergerakan selama 14 hari selepas ‘anembiak’ didiagnosis positif Covid-19.
“Sebelum ini, beberapa penghuni rumah panjang mengadu bahawa sayur-sayuran dan buah-buahan yang telah dituai lebih awal dan sedang menunggu untuk masak berhadapan isu pemasaran berikutan langkah-langkah kawalan secara tiba-tiba”
“Mereka tidak berpuas hati dan bimbang dengan tanaman yang tidak dapat diagih dan dijual pada masanya akibat arahan kawalan pergerakan yang mengehadkan penduduk daripada keluar atau masuk sesuka hati,” katanya.
Menurut beliau, pihaknya telah bersetuju untuk mengambil inisiatif untuk tujuan tersebut.
“Setelah memahami perinciannya, saya juga setuju jika tanaman matang tidak diproses dalam masa, ia bukan sahaja akan menjejaskan pendapatan penduduk, tetapi juga tanaman yang berkualiti akan membusuk, ia amat membazirkan.”
“Kita berjaya mengumpul serta membeli dua tan tanaman penduduk secara berperingkat,” ujarnya.
Beliau yang juga Duta Khas Kepada Pedana Menteri Ke China itu memaklumkan bahawa pendekatan itu dapat memberikan sedikit pendapatan kepada penduduk sekali gus mengurangi kerugian mereka.
“Sekali lagi, saya merayu kerjasama semua penduduk rumah panjang untuk terus mematuhi arahan tindakan kawalan pergerakan (lockdown) yang dikenakan ke atas rumah panjang mereka,” katanya.
Tambahnya, tindakan kerajaan melakukan sekatan pergerakan adalah untuk memutuskan penularan Covid-19 yang mana agenda pertama adalah demi nyawa orang ramai walaupun ada sebilangan kecil belum dapat menerimanya.
Oleh ELLIE EDWARD