
SEATTLE, Amerika Syarikat: Youri Tielemans menjaringkan gol kemenangan paling lewat dalam sejarah Piala Dunia apabila Belgium bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Senegal 3-2 sekali gus mara ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia, sebentar tadi.
Senegal dilihat berada di landasan untuk mencatat kemenangan pertama dalam perlawanan kalah mati Piala Dunia sejak penampilan sulung mereka pada edisi 2002 selepas mendahului 2-0 menerusi jaringan Habib Diarra dan Ismaila Sarr di Seattle.
Namun, Belgium memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan apabila Romelu Lukaku dan Tielemans menjaringkan gol dalam tempoh lima minit terakhir masa permainan sebenar, sebelum pemain tengah Aston Villa itu melengkapkan kebangkitan dramatik menerusi sepakan penalti pada minit ke-125.

Belgium kini berpeluang bertemu Amerika Syarikat pada pusingan 16 terbaik sekiranya pasukan itu menewaskan Bosnia dan Herzegovina.
Bagi Senegal, kekalahan itu pastinya amat perit untuk diterima.
Kekalahan tersebut seolah-olah menamatkan perjalanan baki generasi emas Belgium seperti Lukaku, Kevin De Bruyne dan mungkin juga Thibaut Courtois, namun pasukan itu masih mampu meneruskan cabaran.
Selepas membelasah New Zealand 5-1 untuk muncul juara Kumpulan G, jurulatih Belgium, Rudi Garcia, mengekalkan kesebelasan utama yang sama dengan penyerang Atalanta, Charles De Ketelaere mengetuai jentera serangan manakala Lukaku bermula di bangku simpanan.

Jurulatih Senegal, Pape Thiaw pula melakukan tiga pertukaran terhadap pasukan yang membelasah Iraq 5-0, kemenangan yang memastikan mereka mara sebagai salah satu daripada lapan pasukan tempat ketiga terbaik.
Pape Gueye disenaraikan dalam kesebelasan utama selepas menjaringkan dua gol sebagai pemain gantian dalam perlawanan tersebut, manakala Pathe Ciss dan pemain sayap Everton, Iliman Ndiaye turut diturunkan.
Senegal hampir membuka jaringan menerusi Sarr yang berada dalam prestasi terbaik, namun percubaannya terkena tiang selepas penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois secara tidak sengaja menampan hantaran lintang ke arah penyerang Crystal Palace itu.

Bagaimanapun, The Lions of Teranga akhirnya berada di hadapan apabila tandukan Sarr hasil hantaran lintang Sadio Mane terkena tiang sebelum Diarra pantas menyambar bola muntah untuk menewaskan penjaga gol Belgium.
Peluang terbaik Belgium pada separuh masa pertama hadir menerusi Maxim De Cuyper, namun percubaan lencongnya dari luar kotak penalti berjaya ditepis cemerlang oleh Mory Diaw.
Diaw sekali lagi menggalas tugas di gawang selepas Edouard Mendy pulang ke Arab Saudi untuk menjalani pemeriksaan lanjut terhadap kecederaan lutut yang dialaminya ketika aksi kedua Senegal dalam kejohanan ini.
Belgium Bangkit

Belgium seperti dijangka memasukkan penjaring terbanyak sepanjang zaman mereka, Romelu Lukaku, sebaik bermulanya babak kedua selepas beliau membuktikan impaknya sebagai pemain gantian ketika menentang Mesir dan New Zealand pada peringkat kumpulan.
Namun, Belgium semakin ketinggalan apabila Senegal memperoleh gol kedua pada minit ke-51. Sarr mengawal hantaran jauh Moussa Niakhaté melepasi benteng pertahanan sebelum melepaskan rembatan padu menewaskan Courtois.
Kevin De Bruyne dan Jeremy Doku kemudian dikeluarkan ketika Belgium dilihat hampir tersingkir, namun Lukaku yang hanya beraksi tidak sampai sejam bersama Napoli musim ini menghidupkan semula harapan pasukan pada minit ke-86.

Beliau menyempurnakan hantaran lintang Thomas Meunier, sebelum tiga minit kemudian Belgium menyamakan kedudukan. Diaw gagal mengawal hantaran Leandro Trossard ke dalam kotak penalti, membolehkan Tielemans menanduk masuk ke gawang kosong meskipun diasak dua pertahanan.
Pemain gantian Belgium, Dodi Lukebakio, hampir memastikan kemenangan apabila percubaannya terkena palang pada penghujung masa tambahan kedua ketika perlawanan seakan-akan menuju ke penentuan sepakan penalti.
Namun, drama belum berakhir apabila Tielemans dijatuhkan oleh Lamine Camara dalam kotak penalti, menyebabkan pengadil Said Martínez menghadiahkan sepakan penalti selepas semakan VAR.
Tielemans tenang menyempurnakan sepakan tersebut untuk melengkapkan kebangkitan luar biasa Belgium sekali gus memadamkan impian Senegal. – AFP