PETRA JAYA: Belanjawan Negeri Sarawak 2025 yang dibentangkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dianggap sebagai belanjawan berorientasikan rakyat dan menunjukkan komitmen terhadap kebajikan rakyat.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, belanjawan kali ini memperuntukkan jumlah terbesar dalam sejarah dengan anggaran hasil sebanyak RM14.2 bilion, meningkat berbanding RM13.3 bilion pada 2024.
“Bagi 2025, bajet negeri dijangka menghasilkan lebihan sebanyak RM486 juta, menunjukkan kekuatan kewangan Sarawak yang semakin pulih di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030).
“Perbelanjaan operasi dan pembangunan yang diperuntukkan juga mencatat rekod tertinggi iaitu RM15.8 bilion, berbanding RM13.6 bilion pada tahun sebelumnya.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM10.9 bilion diperuntukkan untuk pembangunan, yang menekankan tumpuan kerajaan Sarawak terhadap pembangunan mampan dan pengagihan pendapatan yang adil di seluruh negeri, demi mencapai ekonomi berpendapatan tinggi yang mampan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, pembiayaan besar ini turut melengkapi Belanjawan Persekutuan baru-baru ini yang memperuntukkan RM5.9 bilion untuk Sarawak.
Tambah Julaihi, kementeriannya amat menghargai peruntukan sebanyak RM1.72 bilion yang disalurkan untuk pembangunan perkhidmatan air, elektrik, dan telekomunikasi.
“Daripada jumlah ini, sebanyak RM1.23 bilion diperuntukkan untuk pembangunan air dan elektrik, manakala RM490 juta pula untuk perkhidmatan telekomunikasi.
“Kementerian saya komited terhadap tanggungjawab menyediakan liputan penuh untuk perkhidmatan utiliti dan telekomunikasi yang boleh dipercayai, mampan, dan mampu milik, khususnya di kawasan luar bandar Sarawak,” katanya.
Oleh Mohd Neenatul Aizal