Belanjawan 2027: Had pelepasan cukai individu dinaikkan kepada RM12,000 – PM Anwar

Facebook
WhatsApp
KAKITANGAN Majlis Kraf Sarawak Therisa Jimey, 22, tekun mengikuti pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi telefon pintar, hari ini, di Dewan Rakyat hari ini. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Oktober: Had pelepasan cukai individu dinaikkan kepada RM12,000 berbanding kadar lama RM9,000 yang tidak disemak sejak 2010, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kadar cukai pendapatan individu pemastautin pula dikurangkan sebanyak satu mata peratus.

Anwar berkata pelepasan cukai individu turut diperluas antaranya melibatkan rawatan perubatan iaitu perkhidmatan penjagaan selepas bersalin.

“Penjagaan ibu bapa dan datuk nenek diperluas meliputi semua perbelanjaan penjagaan dan tidak lagi terhad kepada kesihatan manakala peralatan sukan meliputi pembelian kasut sukan.

“Yuran pengajian serta kemahiran diperluas meliputi semua bidang pengajian dan tuisyen anak, selain itu gaya hidup diperluas merangkumi langganan AI (kecerdasan buatan) serta kos pemvaksinan dan pengambilan haiwan peliharaan angkat daripada pusat berdaftar,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2027 bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata semua langkah itu diambil kerana kerajaan mendengar keresahan golongan pertengahan (M40) yang cekal bersabar meskipun turut terhimpit beban sara hidup.

Selain itu, Anwar turut mengumumkan banjaran pendapatan bercukai antara RM70,000 hingga RM100,000 dikurangkan kepada 18 peratus, manakala banjaran pendapatan bercukai antara RM100,000 hingga RM150,000 dikurangkan kepada 24 peratus.

“Pada masa sama, kerajaan mengambil pendekatan progresif, dengan kadar cukai bagi yang berpendapatan tinggi iaitu melebihi RM1 juta diselaraskan kepada 30 peratus,” katanya.

Perdana Menteri berkata kenaikan pelepasan cukai dan pengurangan kadar cukai individu, bakal memberi lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,600 kepada kira-kira lima juta pembayar cukai. – Bernama