IPOH: Seorang bekas penjawat awam yang didakwa atas tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM149,600 pada 17 Julai lepas, semalam sekali lagi dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga lagi pertuduhan menerima suapan berjumlah RM108,000.
Tertuduh, Herman Ibrahim, 45, mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim S. Indra Nehru.
Bekas Pegawai Kebudayaan Kumpulan Selendang Perak di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak itu dituduh melakukan kesalahan tersebut ketika bertugas sebagai ejen kepada Sekretariat Sukma XIX Perak 2018.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Herman didakwa menerima suapan masing-masing berjumlah RM50,000 pada 21 November 2018 dan RM40,000 pada 1 Februari 2019 daripada pemilik Syarikat Ainaz Marketing yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya di hadapan bank RHB Jalan Tun Sambanthan di sini.
Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa menerima RM18,000 daripada pemilik Syarikat Shadess Event Planner yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya di sekitar kawasan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di sini pada 18 November 2018.
Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, Herman didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Indra Nehru membenarkan tertuduh diikat jamin RM21,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhampiran, sebulan sekali dan menetapkan 19 Ogos bagi pengurusan kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Wahida Jalaluddin dan tertuduh diwakili peguam Khairilazwar Khalil. – Bernama