
LONDON: Bekas pemilik dan pengerusi Chelsea, Ken Bates, meninggal dunia pada usia 94 tahun, lapor PA Media/dpa.
Bates mencipta sejarah apabila membeli Chelsea pada harga hanya satu pound pada 1982 dan menjadi pengerusi ketiga paling lama berkhidmat dalam sejarah kelab itu, dengan memegang jawatan berkenaan selama 22 tahun.
Beliau membawa The Blues muncul sebagai antara pasukan teratas Liga Perdana Inggeris sebelum menjual kelab itu kepada Roman Abramovich pada 2003 dan kemudian mengambil alih Leeds United pada 2005.
Chelsea dalam satu kenyataan di laman sesawang rasminya berkata: “Dengan penuh dukacita kami mengumumkan pemergian Ken Bates, bekas pemilik dan pengerusi Chelsea Football Club. Kelab merakamkan ucapan takziah yang tulus ikhlas kepada isteri beliau, Suzannah, serta seluruh ahli keluarga dan rakan-rakannya.
“Keazaman Ken mempertahankan Chelsea ketika berdepan saat-saat sukar dan memacu pasukan meraih pelbagai kejuaraan tidak akan dilupakan.” – Bernama