SEREMBAN: Seorang bekas jurutera awam jabatan pengurusan projek, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas lapan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM72,200 berkaitan projek stesen Transit Aliran Ringan (LRT) dan komuter, lima tahun lepas.
Mohd Amin Muhammad N. Hushaimi, 36, menghadapi kesemua pertuduhan itu yang didakwa dilakukan di CIMB Bank cawangan Nilai, Taman Semarak, Nilai di sini antara 17 Disember 2015 hingga 3 Julai 2017.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa menerima suapan daripada Amizah Ahmad masing-masing berjumlah RM10,000 melalui akaun CIMB Bank milik Azizi Kassem, yang merupakan adik ipar tertuduh.
Bagi pertuduhan ketiga hingga kelapan, dia didakwa menerima suapan daripada Syarikat Intelligent Essence Sdn Bhd kesemuanya berjumlah RM52,200 melalui akaun bank yang sama.
Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk tidak mengesyorkan Surat Arahan Berhenti Kerja Sementara Ekoran Faktor Keselamatan Di Tapak Projek dikeluarkan bagi projek cadangan tambahan dan pengubahsuaian di LRT Stesen Abdullah Hukum dan cadangan pembangunan sebuah stesen KTM Komuter tiga tingkat di atas sebahagian tanah rizab kereta api.
Selain itu, ia juga membabitkan projek cadangan pembangunan mendirikan sebuah stesen Komuter Bersepadu Kajang 2 berserta kemudahan sokongan antaranya pejabat pengurusan, kiosk jualan tiket, pusat penerangan pelancongan, jejantas pejalan kaki berbumbung, surau dan pencawang elektrik TNB.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Asraf Mohamed Tahir memohon mengenakan jaminan sebanyak RM20,000 bagi semua pertuduhan itu.
Peguam Shahidah Muslimah Roslan bagaimanapun memohon jaminan RM10,000 dengan alasan anak guamnya perlu menanggung isteri dan dua anak berusia lima dan tujuh tahun serta telah diberhentikan kerja sejak September tahun lepas.
Hakim Madihah Harullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Okt untuk sebutan semula kes. – Foto BERNAMA