
KUALA LUMPUR: Keperluan dan bekalan ubat-ubatan dalam negara kekal stabil sekurang-kurangnya hingga penghujung Jun ini, justeru orang ramai dinasihatkan agar tidak melakukan sebarang pembelian panik untuk simpanan jangka masa panjang.
Ketua Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Pengurusan Farmasi Logistik, Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM) Muhammad Md Zin berkata stok ubatan di fasiliti kerajaan juga sentiasa dipantau bagi menjamin bekalan kepada pesakit tidak terjejas.
“Orang awam pun tidak boleh simpan stok ubatan berlebihan kerana ia ada tarikh luput serta memerlukan kawasan simpanan dengan suhu bersesuaian, stok berlebihan hanya akan meningkatkan risiko menggunakan ubat-ubatan rosak dan luput yang boleh menjejaskan kesihatan.
“Jadi sebaiknya uruskan stok dengan bijak, elak melakukan sebarang pembelian borong dan paling penting mendapatkan saranan daripada pakar kesihatan seperti pegawai perubatan atau ahli farmasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia yang disiarkan secara langsung di Bernama TV hari ini, membincangkan mengenai kesan bekalan ubat-ubatan di pasaran domestik susulan krisis tenaga global ketika ini.
Muhammad juga menasihati orang awam terutamanya penghidap penyakit kronik seperti darah tinggi dan kencing manis supaya tidak sewenang-wenangnya mengambil langkah mencatu keperluan ubatan harian mereka sendiri.
“Bagi golongan yang ada penyakit kronik ini tidak ada istilah berjimat, teruskan ambil ubatan mengikut saranan ditetapkan pakar perubatan, jika mahu sebarang pelarasan pun mestilah dapatkan konsultasi pakar kerana kita tidak mahu sebarang tindakan sendiri yang berisiko kepada kesihatan.
“Satu lagi, jangan mengambil keputusan sendiri melakukan sebarang pembelian untuk tambah stok ubat sesuka hati menerusi platform dalam talian, namun sekiranya perlu lakukan semakan untuk pastikan setiap ubatan itu tulen serta berdaftar dengan KKM,” katanya.
Muhammad berkata semakan boleh dilakukan menerusi laman sesawang Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) atau merujuk kepada ahli perubatan atau farmasi.
“Pembelian ubatan tanpa preskripsi juga dikhuatiri menyebabkan risiko pengambilan dos ubat lebih daripada apa yang diperlukan,” katanya.- Bernama