KUCHING: Lima premis terdiri daripada kedai-kedai runcit yang disyaki terlibat dalam kegiatan judi tanpa lesen dipotong bekalan elektrik.
Operasi Bersepadu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuching bersama Sarawak Energy Berhad itu dijalankan di sekitar kawasan bandar raya Kuching sekitar jam 9.00 pagi hingga 12.30 tengah hari semalam.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Suprintenden Merbin Lisa, operasi itu dilakukan di premis-premis yang didapati menjalankan aktiviti perjudian tanpa lesen.
Katanya, mengikut seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953, polis boleh membuat permintaan bagi melaksanakan pemotongan bekalan elektrik jika mempunyai alasan yang munasabah premis terbabit didapati menjalankan sebarang aktviti perjudian.
Beliau turut memberi amaran keras kepada pengusaha berkaitan supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti perjudian tanpa lesen memandangkan pihak polis akan mengambil tindakan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta melaksanakan Akta Pencegahan Jenayah 1959 ke atas mereka yang terlibat.
“Dalam tempoh tiga hari bermula 6 hingga 8 September lalu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching telah berjaya melakukan empat serbuan ke atas premis-premis perjudian di sekitar bandar raya Kuching.
“Siasatan dijalankan dibawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang mana memperuntukkan denda RM5,000 hingga RM50,000 dan hukuman penjara hingga tiga tahun jika sabit kesalahan,” ujarnya.
Kesemua suspek yang ditahan telah direman dan masih dalam siasatan pihak polis.
Merbin turut menjelaskan tindakan pemotongan elektrik adalah berterusan disamping serbuan Operasi Bersepadu yang dilaksanakan hampir setiap hari.
Ujar Merbin, tindakkan keras akan diambil terhadap individu atau pemilik premis yang terlibat dengan aktiviti perjudian berdasarkan peruntukan undang-undang termasuk membatalkan lesen perniagaan mereka.
“Pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan atas kegiatan ini dan menyeru masyarakat yang mempunyai maklumat tampil menyalurkannya kepada pihak polis,” tambah beliau.