MIRI: Pelaksanaan projek bekalan air berimpak tinggi di Bukit Song bernilai sekitar RM41.1 juta kini sedang dilaksanakan bagi menambah baik infrastruktur dan sistem bekalan air di kawasan Beluru, Bekenu, Niah dan Subis.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, projek bekalan air ini telah dirancang dengan teliti oleh kerajaam Sarawak melalui kementeriannya dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak sebagai agensi pelaksana bagi menampung permintaan bekalan air yang semakin meningkat di kawasan berkenaan.
“Projek yang masih dalam fasa pembinaan ini melibatkan pembinaan stesen pam penggalak baharu berkapasiti 3.0 juta liter padu, pembinaan tangki reservoir berkapasiti
5.0 juta liter, pembinaan tangki aras tinggi berkapasiti 3.0 juta liter di Pekan Bekenu dan pemasangan saluran paip baharu sepanjang 31 kilometer (km).
“Apabila projek ini siap sepenuhnya nanti pada suku pertama 2025, ia akan meningkatkan kapasiti pengeluaran bekalan air bersih kepada pengguna di Bekenu, Beluru, Niah dan Subis sekali gus memberi jaminan kualiti kehidupan yang lebih baik kepada 14,000 penduduk di kawasan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan selepas melawat ke tapak projek bekalan air berimpak berimpak tinggi di Bukit Song di sini, semalam.
Julaihi berkata, bagi menjamin kualiti bekalan air yang lebih baik dan berterusan di Bahagian Miri, JBALB akan memastikan projek-projek yang kini dalam peringkat pelaksanaan disiapkan dalam jangka masa yang telah ditetapkan.
“Projek-projek tersebut merupakan sebahagian Sistem Grid Bekalan Air Sarawak untuk menyelesaikan isu bekalan air secara efektif dan menyeluruh,” katanya.