BEIRUT: Presiden Lubnan, Michel Aoun mengadakan mesyuarat tergempar semalam susulan kejadian letupan dahsyat yang setakat ini meragut sekurang-kurangnya 100 nyawa dan mencederakan ribuan orang awam.
Aoun berkata, mesyuarat yang diadakan itu bagi mengisytiharkan darurat di Beirut selama dua minggu.
“Seluruh negara juga diminta berkabung bagi mengenang mangsa yang terkorban dalam letupan di Pelabuhan Beirut.
“Dalam masa sama, kerajaan meluluskan sejumlah AS$65 juta (RM273.167 juta) daripada peruntukan belanjawan tahun ini sebagai bantuan kecemasan,” katanya seperti dilaporkan Al-Jazeera.
Selain itu, Aoun turut mempersoalkan tindakan gudang bunga api yang menyimpan 2,750 tan ammonia nitrat tanpa langkah keselamatan sehingga didakwa menjadi punca letupan pada petang semalam waktu tempatan.
Katanya, pihaknya turut berikrar akan mengambil tindakan keras terhadap mereka yang bertanggungjawab mengakibatkan letupan berkenaan.
“Kilang itu sudah diberi amaran sejak 2014 selepas didakwa melanggar peraturan berkaitan pengurusan keselamatan,” katanya. – AFP