
MIRI: Beberapa jalan utama di sekitar bandar raya Miri akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat pada Ahad ini bagi memberi laluan kepada penganjuran Larian Separuh Maraton Amal Dynasty 2025.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, acara larian amal yang bermula dan berakhir di Dynasty Hotel Miri itu akan berlangsung dari 3.00 pagi hingga 8.00 pagi.
“Tiga kategori akan dijalankan iaitu 21 kilometer (km), 10 km dan 4 km, melibatkan laluan utama di sekitar Miri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Antara laluan yang digunakan termasuk Jalan Miri-Pujut, Jalan Bintang, Jalan Kipas, Jalan Sylvia, Jalan Brooke, Jalan Kingsway, Jalan Padang, Jalan Kubu, Jalan Dato Abang Indeh, Jalan Brighton, Jalan Luak/Esplanade dan Jalan Melayu.
Tambah beliau, antara lokasi yang akan ditutup atau dilencongkan ialah lampu isyarat Parkson, Jalan Bintang, bulatan Kipas, Jalan Sylvia, Jalan Brooke, Jalan Kubu (KWSP), lampu isyarat Tanjung, Luak, Masjid Luak, Jalan Aru, Jalan Aru 8 serta lampu isyarat Marina 3 dan Marina 5 di Jalan Brighton.
Beliau menasihati pengguna jalan raya agar memberi kerjasama dan mematuhi arahan anggota polis di lokasi bagi memastikan kelancaran acara.
“Orang ramai juga dinasihatkan merancang perjalanan masing-masing sepanjang tempoh larian dijalankan,” jelasnya.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang awam boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Miri di talian 085-430479.
Oleh Liong Chai Ling