
BINTULU: Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) terus memperkukuh peranannya sebagai agensi peneraju pembangunan bandar melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif merangkumi aspek infrastruktur, kesejahteraan komuniti, kelestarian alam sekitar dan pembangunan sosioekonomi.
Pengurus Besar BDA, Datu Muhamad Yakup Kari berkata, pendekatan pembangunan yang dilaksanakan menekankan kerjasama strategik bersama agensi kerajaan, institusi pendidikan, sektor swasta serta pihak media bagi memastikan setiap inisiatif memberi impak langsung kepada masyarakat.
Menurut beliau, penyelarasan antara agensi merupakan elemen penting bagi menjamin kelancaran pelaksanaan program, khususnya melibatkan pengurusan bandar, kebajikan komuniti dan pelaksanaan agenda pembangunan mampan.

“Pembangunan Bintulu memerlukan pendekatan menyeluruh dan bersepadu.
“BDA komited untuk memastikan setiap pelaksanaan program mengambil kira keperluan rakyat serta kelestarian jangka panjang bandar ini,” katanya pada Majlis Makan Malam Apresiasi BDA 2026 bersama media dan agensi di sebuah hotel di sini, semalam.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa BDA telah merangka pelbagai inisiatif bagi tahun ini termasuk program berasaskan komuniti, pemerkasaan belia, pengurusan alam sekitar serta penambahbaikan kemudahan awam.
Katanya, peranan media turut penting sebagai rakan strategik dalam menyalurkan maklumat tepat dan berfakta kepada masyarakat, selain menjadi medium komunikasi dua hala antara agensi kerajaan dan rakyat.
BDA berharap sokongan berterusan daripada semua pihak dapat memperkukuh pelaksanaan agenda pembangunan demi menjadikan Bintulu sebagai bandar yang inklusif, berdaya saing dan mampan.
Oleh Carolyne Utih