BCF 2026: 2,000 peserta sasar rekod melambung kampua serentak

Facebook
WhatsApp
KEMBALI LAGI....BCF 2026 kembali lagi mewarnai Dataran Tun Tuanku Bujang bermula 5 hingga 12 September depan.

SIBU: Mi kampua, makanan ikonik Sibu, bakal mencuri tumpuan pada Festival Kebudayaan Borneo (BCF) 2026 apabila sehingga 2,000 peserta disasarkan menyertai cubaan mencipta rekod Malaysia bagi acara melambung mi kampua secara serentak.

Dianjurkan Majlis Perbandaran Sibu (MPS), festival edisi ke-22 itu berlangsung dari 3 hingga 12 September ini di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa 1 dan 2, dengan acara utama dijadualkan selama tujuh malam dari 6 hingga 12 September.

Menurut kenyataan MPS hari ini, BCF 2026 bertemakan ‘Echoes of Borneo’, meneruskan kesinambungan tema ‘Rhythm of Borneo’ tahun lalu dengan mengetengahkan kisah, tradisi dan warisan yang diwarisi merentas generasi.

Festival itu turut menghimpunkan kumpulan kebudayaan tempatan dan antarabangsa termasuk dari China, Indonesia dan Brunei, selain Sabah serta kumpulan persembahan api Budakapi Movement dari Semenanjung Malaysia.

Berdasarkan tentatif program, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dijadual menjadi tetamu kehormat pada majlis perasmian 6 September yang turut merangkumi persembahan pembukaan, upacara menyalakan gerbang BCF dan lawatan sekitar tapak festival.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing pula dijadual menghadiri Malam Pavilion Cina pada 7 September, diikuti Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi pada Malam Pavilion Dayak, 8 September.

Malam Pavilion Melayu/Melanau pada 9 September pula dijadual menampilkan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee sebagai tetamu kehormat.

Acara kemuncak ‘Spectacular Night’ pada 10 September akan menyaksikan cubaan menghimpunkan sehingga 2,000 peserta bagi melontar mi kampua secara serentak, sebelum rekod berkenaan dikemukakan kepada Malaysia Book of Records untuk pengiktirafan rasmi.

Program pada malam berkenaan turut merangkumi acara Tahun Melawat Malaysia dan persembahan api profesional oleh Budakapi Movement.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee dijadual menghadiri Malam Antarabangsa pada 11 September, manakala Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menjadi tetamu kehormat majlis penutupan pada 12 September.

Acara penutup akan dimeriahkan dengan pertunjukan bunga api pyromusical yang diselaraskan dengan muzik pada 10.00 malam, diikuti persembahan artis, DJ dan multi-instrumentalis Sarawak, Belle Sisoski.

Maskot rasmi BCF, pasangan harimau dahan dikenali sebagai ‘Engkuli’, turut kembali dengan kostum baharu, manakala gerbang utama festival direka berinspirasikan gua batu kapur, stalaktit, stalagmit dan sungai bagi menggambarkan alam semula jadi Borneo.

MPS turut mengingatkan pengunjung supaya menjaga kebersihan kerana pemeriksaan berkala akan dilakukan dan kompaun boleh dikenakan terhadap mereka yang membuang sampah atau melanggar peraturan kebersihan.

Jalan Bujang Suntong pula dijadual ditutup sementara pada 6, 11 dan 12 September bagi tujuan keselamatan serta kawalan trafik sepanjang acara utama berlangsung.

Oleh Akun Giman

Misteri Penjaga Rimba Purba

MALAM melabuhkan tirainya, membalut gelap belantara dengan seribu rahsia. Di celah-celah pokok besar tersembunyi ilmu dan bisikan roh purba. Gabungan