Bayaran visa ke Jepun dinaikkan lima kali ganda bermula Julai

Facebook
WhatsApp
JEPUN naikkan bayaran visa sehingga lima kali ganda bermula Julai, langkah pertama sejak 1978 susulan perubahan ekonomi global dan kejatuhan nilai yen.

TOKYO: Kerajaan Jepun pada Jumaat memutuskan untuk menaikkan bayaran visa kemasukan tunggal bagi warga asing sebanyak lima kali ganda kepada 15,000 yen (AS$90) daripada 3,000 yen bermula Julai, menandakan kenaikan pertama sejak 1978 ketika inflasi dan kejatuhan nilai yen.

Bayaran pengeluaran untuk visa kemasukan berbilang, yang membolehkan pelawat memasuki Jepun beberapa kali dalam tempoh yang ditetapkan, akan dinaikkan daripada 6,000 yen kepada 30,000 yen, lapor Kyodo News.

“Kami tidak menjangkakan langkah berkenaan memberi kesan segera kepada pelancongan masuk,” kata Menteri Luar Toshimitsu Motegi semasa sidang media.

Kenaikan itu dijangka menjadikan bayaran pengeluaran visa Jepun lebih dekat pada tahap yang dilaksanakan oleh negara Kumpulan Tujuh.- Bernama-Kyodo