

KUCHING: Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) bekerjasama dengan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) memperkenalkan kaedah baharu pembayaran zakat fitrah iaitu pembayaran melalui kod QR kepada Amil Zakat Fitrah Bahagian Kuching.
Pengurus Besar TBS, Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie berkata kaedah baharu itu diperkenalkan bagi memudahkan urusan pembayaran zakat fitrah yang lebih selamat dan terkawal.
“Inisiatif ini dilaksanakan dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad bagi mengutip zakat fitrah menggunakan kaedah QR yang akan digunakan sepanjang Ramadan.
“Kita tahu masyarakat pada masa kini telah biasa membuat pembayaran menggunakan kod QR dan sebagainya. Jadi, kaedah ini akan memudahkan kedua-dua pihak dalam urusan kutipan zakat fitrah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas taklimat dan bengkel Amil Zakat Fitrah Bahagian Kuching di Dewan Majma Tunku Abdul Halim Mu’adzam Shah di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, TBS akan melaksanakan penggunaan kod QR oleh Amil di Bahagian Kuching sahaja pada tahun ini dan hanya akan diguna di seluruh Sarawak bermula 2026.
“Untuk tahun ini, kita memilih Kuching sahaja kerana tidak sempat untuk mengumpulkan semua amil di seluruh bahagian. Ini juga adalah satu model perintis dan sekiranya berjaya, kita akan perluaskan di bahagian lain,” tambahnya.
Sementara itu, ketika ditanya berkenaan zakat fitrah, beliau memaklumkan ia masih belum ditetapkan dan akan dimaklumkan oleh Majlis Islam Sarawak dalam masa terdekat.
Mengulas berkenaan program tersebut, Abang Shibli berkata taklimat dan bengkel itu dilaksanakan bagi memberi penerangan berkenaan penggunaan kod QR kepada 200 amil di Kuching.
Pada majlis sama, TBS turut menerima bayaran zakat perniagaan daripada TM Technology Services berjumlah RM509,262 yang disampaikan oleh Pengurus Besar TM Sarawak, Abdul Rahman Taha kepada Abang Shibli.
Untuk rekod, setakat Januari 2025, TBS telah mengagihkan bejumlah RM8.3 juta kepada asnaf yang layak melalui empat program utama iaitu Program Mengukuhkan Tradisi Keilmuan, Program Membangunkan Institusi Islam, Program Memantapkan Kebajikan Ummah dan Program Peningkatan Kemahiran Ummah.
Turut hadir ialah Timbalan Pengurus Besar TBS, Bolhassan Iskandar Taibi, Pengarah Saluran Pengurusan Tunai BIMB, Jasarudin Sahak.
Oleh RYNNA SHA’ERRA