Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Baucar buku MADANI pupuk minat membaca kalangan pelajar
  • PENDIDIKAN

Baucar buku MADANI pupuk minat membaca kalangan pelajar

Utusan Sarawak 2 days ago

KUALA LUMPUR: Baucar Buku MADANI 2024 yang diberikan kepada pelajar berjaya memberi impak besar apabila kadar penebusan mencapai 100 peratus, sekali gus mencerminkan sambutan luar biasa dan keinginan mendalam generasi muda terhadap ilmu serta bahan bacaan berkualiti.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku (PKB) Adibah Omar berkata kejayaan itu bukan sahaja menunjukkan pelajar menghargai inisiatif kerajaan, malah membuktikan keberkesanan insentif berkenaan dalam memupuk budaya membaca yang semakin terhakis.

“Inisiatif pemberian baucar buku dilihat berjaya mendorong golongan yang sebelum ini kurang membaca untuk mula menunjukkan minat terhadap bahan bacaan. Ia menjadi satu bentuk dorongan awal yang efektif dalam melahirkan lebih ramai pembaca buku.

“Hasil dapatan kajian turut menunjukkan ramai penerima tidak mampu membeli buku, bahkan RM100 setahun untuk bahan bacaan pun dianggap membebankan bagi sesetengah keluarga. Oleh itu, insentif kerajaan ini dilihat amat bermakna dalam menyediakan akses yang lebih adil kepada ilmu pengetahuan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pembentangan Kajian Impak Program Pemberian Baucar Buku MADANI 2024 terhadap Pembangunan Ekonomi MADANI dan Pembangunan Masyarakat MADANI yang Berilmu sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.

Adibah berkata kajian itu juga menunjukkan 99.2 peratus responden bersetuju program baucar buku itu wajar diteruskan dengan cadangan penambahbaikan seperti capaian internet yang lebih meluas, proses penebusan yang dipermudah serta penyediaan laman web yang lebih mesra pengguna.

Lebih membanggakan, 94.5 peratus berasakan ia mencapai matlamat utama untuk menggalakkan minat membaca serta 97.5 peratus responden mengakui program ini memberi manfaat terutama kepada pelajar berpendapatan rendah.

“Sebanyak 72.1 peratus responden berpuas hati dengan proses penebusan dalam talian yang lebih mudah serta telus berbanding kaedah pemberian baucar buku fizikal sebelum ini,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa PKB selaku penyelaras utama pemberian baucar juga berjaya memastikan akses kepada buku berkualiti yang dinikmati pelajar di kawasan bandar dan luar bandar termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Contohnya, anak-anak di kawasan pedalaman seperti Kinabatangan, Sook, Keningau dan Tawau sebelum ini tidak mendapat akses buku yang sama seperti anak-anak di Melawati dan Petaling Jaya.

“Namun, dengan adanya kemahuan politik yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri, kami berasa amat bersyukur kerana anak-anak ini kini memperoleh akses yang lebih saksama,” katanya.

Kajian impak itu dijalankan dengan kerjasama IDE Research Centre melibatkan 711 responden daripada pelbagai institusi penerima baucar buku di seluruh negara.

Program baucar itu adalah usaha kolaborasi PKB bersama Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Adibah berkata penebusan dilakukan melalui platform bookcapital.com.my yang menawarkan lebih 800 ribu judul melibatkan 1,000 penjual tempatan yang berjaya memacu pertumbuhan industri pembukuan nasional melalui teknologi dan analitik data raya.

Pada 30 Mei tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian baucar pembelian buku berjumlah RM50 kepada murid Tahun 4 hingga Tahun 6 dan RM100 kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) semasa merasmikan PBAKL 2024.

Pengumuman itu satu daripada usaha dalam membantu menerapkan budaya cintakan ilmu dan buku, sekali gus membudayakan amalan membaca terutama dalam kalangan pelajar IPT.– Bernama

Continue Reading

Previous: Eurocampus KL, era baharu kerjasama pendidikan Eropah
Next: Keputusan permohonan kemasukan ke UA, Politeknik, Kolej Komuniti dan MARA BPT diumum 16 Jun

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.