
LUBOK ANTU: Kerajaan Sarawak akan membangunkan kawasan sekitar Empangan Hidroelektrik Batang Ai sebagai pusat pelancongan baharu dalam usaha memperkasa ekonomi penduduk tempatan dan menjadikannya destinasi ekopelancongan utama di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah itu merupakan kesinambungan daripada kejayaan Batang Ai sebagai projek tenaga lestari yang telah menjana bekalan elektrik untuk seluruh negeri sejak 40 tahun lalu.
Beliau berkata, pembangunan sektor pelancongan di kawasan itu akan dilaksanakan secara bersepadu dengan penglibatan komuniti tempatan khususnya dalam mempromosikan potensi ekopelancongan berasaskan sumber semula jadi dan budaya masyarakat setempat.
“Kita akan jadikan kawasan Batang Ai sebagai tarikan pelancong, orang dapat melawat empangan, Lanjak Entimau dan menikmati keindahan alam semula jadi di situ,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan ulang tahun ke-40 Empangan Hidroelektrik Batang Ai di Batang Ai Operator Residence, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Abang Johari turut mengumumkan peruntukan RM2 juta bagi menaik taraf kemudahan infrastruktur di kawasan berkenaan termasuk rumah panjang, kedai dan kemudahan komuniti bagi menyokong aktiviti pelancongan di Batang Ai.
“Berkat 40 tahun Batang Ai, saya lulus RM2 juta untuk mengemas kini kedai, rumah panjang dan kemudahan penduduk setempat,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga sedang menambah baik kemudahan di Lapangan Terbang Sepaoh yang bakal menjadi laluan utama pelancong ke Batang Ai sekali gus memendekkan masa perjalanan ke kawasan tersebut kepada hanya setengah jam.
Abang Johari turut menggesa ketua masyarakat dan komuniti setempat supaya tampil dengan idea serta inisiatif baharu untuk memperkenalkan potensi pelancongan di Batang Ai bagi meningkatkan taraf ekonomi penduduk.
Dalam pada itu, Premier Sarawak menegaskan bahawa Empangan Batang Ai terus memainkan peranan penting dalam agenda tenaga hijau Sarawak dengan keupayaan menjana sehingga 170 megawatt (MW) tenaga elektrik hasil gabungan sistem hidro dan solar, menjadikannya antara projek tenaga boleh diperbaharui terbesar di Malaysia.
Beliau berkata, kerajaan negeri kini menumpukan kepada penghasilan tenaga alternatif seperti hidrogen dan biojisim (biomass) sebagai sebahagian daripada pelan jangka panjang menuju ke arah ekonomi hijau.
“Masa depan tenaga Sarawak adalah tenaga boleh diperbaharui. Kita sudah mulakan dengan hidro, kini dengan solar dan seterusnya hidrogen serta biomas sebagai sumber baharu tenaga negeri,” jelasnya.
Oleh Shahrul Qaizat